Home Berita PAS Terengganu

Bon Odori

90
SHARE

Oleh : Ustaz Zakaria Ismail

Menyambut Bon Odori bermakna meraikan akidah agama lain berkaitan alam roh yang boleh digembirakan dengan tarian, boleh ditunjukkan ke arah yang betul dengan lampu dan meraikan kepelbagaian agama Buddha yang disesuaikan dengan budaya tempatan Jepun yang menghormati roh nenek moyang sehingga memuja roh mereka.

Kita kurang maklumat tentang pengamalan agama yang dipakejkan sekali sebagai pesta kebudayaan di Jepun. Oleh kerana itu JAKIM membuat kajian yang lebih mendalam tentang sambutan itu dan menemui banyak unsur-unsur akidah yang menyalahi akidah Islam.

Malangnya, serangan hebat dihalakan kepada JAKIM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ustaz Idris Ahmad kerana membuat penjelasan. Penjelasan mereka diklasifikasikan pula sebagai kekeliruan dan berfikiran tertutup oleh beberapa penulis beragama Islam di media tempatan.

Sebetulnya kita tidak menghalang orang Jepun untuk mempraktikkan agama mereka. Islam sentiasa menghormati prinsip kebebasan beragama.

Tapi Islam tidak membenarkan Ummat Islam menyertai sambutan keagamaan agama lain kerana sambutan agama lain berpaksikan kepada pegangan akidah mereka yang bertentangan dengan akidah Islam. Kerana itu beerti kita secara tidak langsung mengiktiraf pegangan akidah mereka sebagai benar juga. Jika akidah mereka kita akui benar, ia bermakna kita tidak yakin dengan kebenaran akidah kita sendiri. Dan itu adalah satu kekufuran yang nyata.

Tekanan daripada DYMM Sultan Selangor sedang ditangani secara terhormat oleh Ustaz Idris dan JAKIM. Ia satu cabaran besar untuk mereka.

Sohibus Samahah Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor juga kelihatan turut sama berhadapan cabaran getir untuk menghuraikan kekusutan ini apabila melibatkan titah DYMM Sultan Selangor secara langsung.

Namun menjernihkan keadaan mungkin tidak sesukar yang dilihat kerana DYMM Sultan Selangor dilihat sentiasa terbuka menerima pandangan-pandangan yang disokong oleh fakta. Mungkin baginda Tuanku terkhilaf dengan pandangan-pandangan lain sebelum isu ini, iaitu sebelum kajian yang lebih mendalam dijalankan oleh para ulamak tempatan.

Sepatutnya orang Jepun di Malaysia menghormati Ummat Islam di sini. Sepatutnya mereka tidak akan cuba mengheret Ummat Islam untuk sama-sama terlibat dengan tarian khas sempena perayaan berkait agama mereka tanpa kita sedari.

Jika mereka tidak sengaja berbuat begitu kerana tidak memahami agama kita, kitalah yang sepatutnya memberikan penerangan kepada mereka. Hubungan antara budaya Malaysia-Jepun akan mampu dipertingkatkan jika isu-isu sensitif seperti ini diambil kira dengan baik oleh kedua-dua belah pihak.

Bagi Ummat Islam pula berbaloilah akidah kita dipertaruhkan di akhirat kerana hendak mengenal budaya Jepun melalui sambutan Bon Odori? Kita turut menari untuk roh nenek moyang orang Jepun?