Home Berita PAS Terengganu

Bomba Hargai Sumbangan Jabatan Amal Dungun

1358
SHARE
ADUN Rantau Abang bergambar bersama anggota Jabatan Amal Dungun dan anggota Bomba dan Penyelamat

DUNGUN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Amal Dungun yang telah membantu sepanjang tiga hari Operasi Balai Besar.

Ketua Zon Dua Terengganu, PGKB II Azmi Ab. Rahim memuji usaha-usaha yang dilakukan oleh anggota sukarelawan Unit Amal tersebut.

” Saya sebagai Komander Operasi Balai Besar Dungun yang memadamkan kebakaran hutan paya gambut di sekitar Kampung Balai Besar, Dungun memang menghargai Jabatan Amal Dungun yang sudi membantu dari segi penyediaan makan minum terutamanya.

” Dan di peringkat jabatan(Jabatan Bomba dan Penyelamat) amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Unit Amal, ” ujarnya.

Beliau yang ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun yang berkunjung ke bahagian dapur Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun, Kuala Dungun di sini, untuk berjumpa sukarelawan Unit Amal yang sedang sibuk menyediakan juadah makan tengahari pada 27 Mac.

Menurut Azmi, kerja-kerja memadamkan kebakaran ini melibatkan lapan buah balai bomba, tiga yang berada di Dungun dan lima daripada Kemaman telah bermula sejak 25 Mac dan berakhir pada 27 Mac.

“Selepas ini kerja-kerja memadamkan api akan dilakukan oleh anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Dungun,” ujarnya lagi.

Manakala Timbalan Pengarah Jabatan Amal Dungun, Tengku Wahiazizee Tengku Ali memberitahu petugas Unit Amal seramai sepuluh orang telah terlibat sebagai sukarelawan membantu menyediakan hidangan bersama-sama tiga orang anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Dungun.

“Kita memasak selama dua hari untuk seramai 100 orang yang telibat dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran tersebut.

” Hari pertama kita beli makanan yang siap hasil sumbangan orang ramai, di hari kedua dan ketiga kita memasak untuk makan tengahari, petang dan malam, untuk sarapan kita beli yang siap dibungkus,” tambahnya lagi.

Kebakaran hutan paya gambut yang berlaku sejak sebulan yang lalu, di sekitar Kampung Balai Besar melibatkan hampir 30 hektar dan dianggarkan 25 hektar telah berjaya dipadam.