Home Berita PAS Perlis

Boikot Pilihan Raya Bercanggah Dengan Islam

5209
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Pandangan yang mengatakan bahawa mengundi adalah tidak wajib adalah ajaran penjajah dan bercanggah dengan Islam, demikian dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Katanya, pihak penjajah sedari dahulu lagi, telah berusaha memesongkan kefahaman umat Islam terhadap soal politik dan pemerintahan, bertujuan bagi melemahkan umat Islam agar mereka (pihak penjajah) dapat menguasai Tanah Melayu.

Namun ujarnya, peristiwa para sahabat berkumpul di Saqifah Bani Saadah untuk memilih (mengundi) khalifah bagi mengganti Rasulullah S.A.W., susulan kefawatan baginda, menjadi dalil syarak yang mewajibkan umat Islam melantik pemerintah dalam urusan memimpin umat Islam dan negara.

“Tiba-tiba hari ada orang kata tak payah mengundi, nak pulau (boikot) pilihanraya, ini ajaran apa, bukan ajaran Islam.

“Mengundi tak wajib ni ajaran penjajah, agama urusan Allah, (urusan) pemerintah urusan manusia, ini ajaran Kristian yg dibawa penjajah.

“Ini (boikot mengundi) satu kefahaman yang sangat salah, (sepatutnya) orang Islam mesti memerintah, mesti memimpin negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana di Markas PAS Sungai Padang pada 28 Januari yang lalu.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa seluruh ahli PAS agar menggiatkan usaha dalam memberikan kefahaman yang betul kepada masyarakat khasnya umat Islam, tentang kewajipan mengundi dan menyertai pilihan raya.

Tambah beliau, sebarang usaha memboikot pilihan raya adalah amat tidak bertanggungjawab dan perlu ditentang habis-habisan kerana tindakan sedemikian boleh mengancam masa depan umat Islam dan negara.

“Puak-puak yang nak pulau pilihan raya ni, kita lawan sungguh-sungguh, kita kena lawan, kena bangkitkan (kesedaran) orang Islam,” tegasnya.