Home Berita PAS Terengganu

Blackrock: Hentikan normalisasi dengan Israel

57
SHARE

Isu berkaitan BlackRock panas dimainkan dalam negara ini, dan ia bertambah panas apabila Perdana Menteri turut memberi reaksi positif terhadapnya serta menyanggah desakan yang semakin meningkat agar rancangan pengambilan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat tersebut dibatalkan.

Dalam komentarnya, dikatakan ekonomi negara akan terjejas jika semua urus niaga dengan syarikat yang ada kaitan dengan Israel dihentikan. Katanya lagi, kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan penglibatan syarikat luar negara yang mempunyai kaitan dengan Israel kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara. Seolah-olah ekonomi negara dalam keadaan darurat sehingga menghalalkan yang haram.

Allah SWT telah meletakkan garis panduan dalam hubungan dengan bukan Islam dengan firman-Nya:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]

Begitulah alasan para pemimpin Makkah menolak tawaran Rasulullah SAW dengan negara hidayah Allah kepada mereka, kerana mereka takut akan sekatan ekonomi. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk yang kamu bawa itu, nescaya kami dengan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang didatangkan ke tempat itu hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian di sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” [Surah al-Qasas: 57]

Allah menolak golongan yang memberikan alasan darurat dengan mudah, sehingga boleh bersekongkol dengan musuh Islam tanpa keyakinan kepada kurniaan Allah di bumi-Nya yang luas, sebagaimana firman-Nya:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا ٩٧﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang diwafatkan oleh malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya, ‘Dalam keadaan bagaimanakah kamu ini?’ Mereka menjawab, ‘Kami dahulu ialah orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah).’ Para malaikat bertanya lagi, ‘Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?’ Maka, orang-orang itu tempatnya adalah di neraka (Jahanam), dan Jahanam itu merupakan seburuk-buruk tempat kembali.” [Surah al-Nisa’: 97]

Maka, Rasulullah SAW mengadakan hubungan dengan golongan bukan Islam yang berdamai daripada kalangan kaum Yahudi, Kristian dan Musyrikin, dari sudut hubungan politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Bahkan, Baginda SAW juga terus membatalkan segala hubungan dengan golongan bukan Islam yang menunjukkan tanda-tanda permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Begitu juga sikap tegas para sahabat daripada kalangan Ansar terhadap Yahudi Madinah yang bersekongkol dengan bala tentera Ahzab.

Dalam kawasan bumi Allah yang luas ini, dikurniakan sumber kehidupan dalam segala aspek, termasuk aspek ekonomi yang dijadikan kiblat oleh kesemua ideologi, tidak terikat dengan satu sumber yang kecil dan sempit semata-mata. Khususnya, kebanyakan sumber hasil kekayaan perut bumi dan tenaga manusia berada di tanah air umat Islam.

Hakikatnya, perlu diketahui bahawa masih ramai lagi kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem sebagaimana Zionis. Bumi Zionis itu hanya sekangkang kera sahaja, dikelilingi oleh bumi Arab yang kekayaannya melimpah-ruah tetapi bebal dalam menguruskannya.

Malangnya, kalangan umat Islam sendiri sangat lemah kefahamannya dan masih ada yang berkiblatkan Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan syarikat gergasi Barat yang masih bersifat penjajah, sehingga seolah-olah tidak ada rezeki di tempat yang lain.

Jika dilihat kembali sepanjang catatan sejarah, Allah tidak mengizinkan kaum Yahudi bersikap takbur di alam dunia. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤﴾

“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu,’ sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak sedemikian), bahkan kedua-dua tangan Allah terbuka (ni‘mat dan kurniaan-Nya melimpah); Dia menafkahkan (melimpahkannya) sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu sungguh-sungguh akan menambahkan kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sehingga Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” [Surah al-Ma’idah: 64]

Sikap agresif negara haram Israel kini ditolak oleh majoriti negara dunia dan masyarakat antarabangsa yang bersikap madani, termasuk kalangan rakyat Amerika Syarikat dan Eropah serta sekutunya yang masih berada bawah pengaruh Zionis.

Kini, sudah banyak negara Afrika, Amerika Latin dan Asia memutuskan hubungan dengan Israel, termasuk desakan badan bukan kerajaan (NGO) di negara Barat terhadap kerajaan mereka. Malangnya, masih banyak negara Islam dan negara Arab termasuk Malaysia kini yang bermadani masih belum kelaparan tetapi lemah aqidahnya, bahkan masih ketakutan sehingga tidak mahu merungkaikan ikatan dengan negara Israel yang sedang dilaknat oleh majoriti penduduk dunia kerana kekejamannya yang di luar perikemanusiaan. Pengaruhnya terhadap politik dan ekonomi dunia sedang merudum. Madani jenis apakah yang menjadi slogan sebagaimana yang sedang dikumandangkan di Malaysia?

Ketika masyarakat Barat di Amerika Syarikat dan Eropah sendiri menunjukkan sikap protes terhadap Zionis yang paling kejam, tiba-tiba negara Malaysia yang masih banyak sumber ekonominya meletakkan diri dalam keadaan darurat sehingga menghalalkan perkara yang haram.

Maka, langkah normalisasi terhadap Israel adalah salah dalam segala aspek dari segi agama, politik, ekonomi dan kemanusiaan. Langkahnya menunjukkan kejahilan agama dan kebebalan dalam pengurusan ekonomi negara yang mengambil jalan mudah tanpa pegangan prinsip dan moral yang mulia.

Kewajipan menentang keganasan Zionis merupakan kewajipan umat, bukan sahaja kewajipan bangsa Arab, Palestin dan kumpulan Hamas. Hakikatnya, ia wajib ditunaikan bersama dan patut difahami oleh setiap penganut Islam daripada kalangan semua mazhab Ahli Kiblat yang mencium Hajar al-Aswad (Batu Hitam) yang terdapat pada Kaabah di Makkah.

Kewajipan ini tidak perlu dirujuk kepada sesiapa, kecuali ahli kiblat yang menghadap ke arah White House di Washington yang masih bergayut mengucup BlackRock (Batu Hitam) pada Kaabah ciptaan Zionis. Allah mendedahkan mengenai kalangan mereka yang menjadi makhluk perosak yang mencipta kata-kata yang indah. Firman Allah SWT:

﴿وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ ٢٠٥﴾

“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205)” [Surah al-Baqarah: 204-205]

Kata-kata yang indah ini termasuklah propaganda Zionis yang menarik bagi menutup kekejamannya yang paling melampau. Maka, hentikan suara jurubicaranya yang dilantik di Malaysia berjenama Madani yang menggoda rakyat tanpa hala tuju yang betul.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Zulhijjah 1445 / 27 Jun 2024

[Bil: 27 / 2024]