Home Berita PAS Selangor

Bingkisan Rida’ Di Bahu |Dewan Ulama PAS Selangor – Pengorbanan Itu Rukun Perjuangan

755
SHARE

Firman Allah swt dalam surah AsSaafat ayat 120,

(فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡیَ قَالَ یَـٰبُنَیَّ إِنِّیۤ أَرَىٰ فِی ٱلۡمَنَامِ أَنِّیۤ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ یَـٰۤأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِیۤ إِن شَاۤءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِینَ)

Maksudnya, “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.”

Ayat ini merupakan kisah yang menyayatkan hati kita samada sebagai seorang bapa, seorang anak dan malah sebagai seorang manusia dan hamba kepada Allah apabila Nabi Ismail merelakan diri dan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim as.

Kerelaan Nabi Ismail as bukan hanya kerana baginda merupakan anak kepada seorang ayah, Nabi Ibrahim as, akan tetapi hakikatnya kerana Baginda sanggup menjunjung perintah sembelihan ini oleh Allah SWT yang diwahyukan kepada ayahnya, Nabi Ibrahim as.

Lantaran itu, Allah memuliakan keduanya kerana kesanggupan pengorbanan yang ditunjukkan mereka.

Dalam perjuangan, pengorbanan adalah satu rukun yang tidak dapat tidak ia kemestian yang wajib dirasai, dilalui dan diterima oleh setiap pejuang.

Tiada pengorbanan maka tiadalah erti perjuangan, malah pejuang itu tidak akan merasai apa sebenarnya hakikat perjuangan itu sendiri.

Selain pengorbanan harta, masa, tenaga dan jiwa raga, pengorbanan perasaan juga adalah salah satu daripadanya. Kekadang pejuang itu mampu mengorbankan tenaga, wang dan masa tetapi belum pasti dia mampu mengorbankan perasaannya sebagai contoh di kala perjuangan itu sedang meraikan dan dianugerahi dengan kemenangan.

Habuan dan nikmat kemenangan kekadangan mengelabui hati seorang pejuang sehingga dia tidak dapat mengorbankan perasaannya sehingga timbullah curiga, irihati, syak wasangka dan pelbagai lagi penyakit hati.

Jernihkanlah hati kita dengan perhiasan ikhlas, jujur dan redho kepada Ilahi agar setiap langkah perjuangan itu tidak disia-siakan oleh Allah di akhirat nanti.

Ameen.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat
Merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri
22 Julai 2020