Oleh Ustaz Muhammad Najhan Halim
PRK N58 DUN Slim yang akan tiba hari mengundi kurang lebih 48 jam sahaja lagi merupakan satu titik bersejarah dalam sistem demokrasi pilihanraya di negara kita.
Ini kerana PRK ini merupakan yang kedua selepas PRK Chini yang lalu dalam suasana norma baharu disebabkan pandemik COVID 19.
Setiap kali PRK, pendekatan, suasana, dan corak adalah berbeza antara satu sama lain. Kalau dilihat PRK di N58 ini, apa yang sangat menarik perhatian saya ialah peranan pondok pengajian setempat yang sangat signifikan kepada suasana dan corak pilihanraya di sini.
Pondok yang dimaksudkan ialah Pondok Muallim di Slim River yang diasaskan oleh al Fadhil Ustaz Mohd Tirmizi Abd Rahman yang juga merupakan YDP PAS kawasan Tanjung Malim.
Pondok Muallim yang dinamakan sempena dan sesuai dengan nama timangan Slim River itu sendiri telah diwujudkan sejak tahun 2014 yang lalu. Dan kini sudah punyai sebuah dewan besar merangkap surau, beberapa buah rumah pondok dan pejabat pengurusan.
Difahamkan bahawa kuliah pengajian yang berjalan sebanyak 4 kali seminggu itu memiliki hampir 600 murid di kalangan warga emas, persara, warga bandar Slim River dan juga penduduk sekitar.
Tambahan lagi, fungsi Pondok Muallim ini bukan hanya sekadar pusat pengajian berkitab kepada warga Muallim atau Slim River, tetapi sebagai institusi penyatuan ummah bagi murid-murid yang datang daripada pelbagai latarbelakang kewangan, pendidikan dan termasuk berbeza pendirian politik.
Pondok Muallim juga telah berjaya menyatukan umat Islam yang bangsa Melayu di Slim River khasnya dan Tanjung Malim amnya.
Sebab itu Penyatuan Ummah atau khususnya Muafakat Nasional yang telah diisytiharkan pada 14 September 2019 yang lalu di antara PAS dan UMNO sesuatu yang amat dialu-alukan dan dinanti-nanti oleh warga Pondok Muallim.
Kini, Pondok Muallim dijadikan Markaz Besar PAS PRK N58 DUN Slim dan telah menyaksikan beberapa siri ceramah berskala besar dan dihadiri oleh pimpinan utama parti PAS dan UMNO.
Dari tapak Pondok Muallim inilah penyatuan ummah warga Tanjung Malim dan khasnya Slim River antara PAS dan UMNO berjaya menjadi harmoni dan berukhuwah.
Difahamkan majoriti murid warga emas, dewasa dan pesara yang mengikuti secara aktif pengajian Pondok Muallim antara rata-rata di kalangan ahli UMNO sebanyak 75 peratus dan selebihnya ahli PAS dan juga orang awam.
Slim River yang kini berdepan dengan PRK N58 selepas kematian penyandangnya ADUN BN Allahyarham YB Dato’ Kushairi Abdul Talib. Bagi mengisi kekosongan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim BN meletakkan calon muda yang berpendidikan agama dari UIA Tuan Mohd Ziadi Aziz.
Kemesraan dan keharmonian antara pimpinan serta ahli PAS dan UMNO terjalin menerusi pondok Muallim yang memainkan peranan menyebarluaskan ilmu Islam yang natijahnya terjalinlah tautan ukhuwwah atas aqidah dan agama antara kedua-dua entiti ini menjadi utuh.
Begitulah hebat peranan yang ditunjuki menerusi pengajian dan institusi pondok dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan juga kekuatan politik.
Islam menjadi kuat dan teguh hanya dengan kesatuan dan ukhuwwah antara umat islam dan kefahaman ajaran Islam yang menjadi teras setiap amalan dan tindakan kita.
Begitulah pondok perlu diwujudkan dan diasaskan di setiap kawasan parlimen dan DUN kerana signifikan kedudukannya dan kepentingan dalam kalangan masyarakat dan umat Islam di negara ini.
Semoga Institusi Pondok terus dipelihara dan dipertahankan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional”
Penulis adalah Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
9 Muharram 1442H | 28 Ogos 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor