Home Pedoman Haraki

Bilakan Muncul Jelmaan Tuan Guru Harun Taib

1433
SHARE

BILAKAN MUNCUL JELMAAN TUAN GURU HARUN TAIB

Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

Pada detik ulangtahun pemergian Tuan Guru Dato’ Harun Taib 25 Januari ini, terbayang-bayang kenangan berada di bawah pimpinan beliau. Bukan mengenang sosok tubuhnya, tapi mengenang 1001 mutiara dari pemikiran dan tindakannya yang belum sempat diwarisi, namun telah pergi bersama jasadnya buat selamanya.

Tuan Guru Harun Taib adalah arkitek tarbiyah yang sangat berjasa. Beliau sangat tegas dari sudut pemikiran dan akidah perjuangan. Panduannya kejap bersama al-Quran dan Sunnah, mendahului semua pandangan manusia.

Dengan dua sumber nas ini, beliau membina kader-kader Islam. Bukan sekadar bergimik dan beretorik, tidak memerlukan pelancaran demi pelancaran, bergerak secara low profil tanpa liputan dan populariti, tetapi gigih tanpa erti penat letih.

Arena mahasiswa seringkali menjadi sasaran pertembungan fikrah. Yang tidak bergelumang dengan dunia mahasiswa, atau tidak terlibat dengan organisasi pelajar mungkin tidak merasai, tetapi bagi yang berkecimpung, tentu mengetahui bagaimana teruknya pertembungan antara jemaah-jemaah atas nama Islam.

Mendakwa Islam, tetapi berusaha menjatuhkan antara satu sama lain. Berebut kader, mencipta tuduhan, hi-jack program, sehingga ke tahap membunuh karektor, semuanya pernah berlaku di alam siswa.

Di sinilah letaknya kepakaran Tuan Guru Harun Taib. Beliau boleh dianggap pahlawan dalam mempertahankan PAS dari dirosakkan fikrah yang bertentangan. Sejak pulang dari Mesir, universiti dan kampus-kampus menjadi rumah kedua beliau. Berulang alik ke Jordan, Mesir, UK, Amerika, dan di mana sahaja pusat pengajian pelajar Malaysia adalah menjadi rutin beliau. Membawa mesej perjuangan dan vaksin mujarab bagi menangkis kecelaruan fikrah.

Oleh kerana PAS adalah gerakan paling berpengaruh di tanahair, memiliki ahli dan penyokong melebihi angka juta kini, maka ia menjadi sasaran utama semua jemaah lain sejak dahulu untuk menumpang kelebihan yang ada.

Sukar untuk dicerita, kerana yang tidak faham pasti menyangka PAS tidak meraikan kepelbagaian. Namun padah apabila terlalu merai adalah episod-episod krisis jemaah yang baru sahaja berakhir pasca muktamar lepas.

Tuan Guru Harun Taib adalah orang yang tegas menentang kemasukan Saari Sungib ke dalam PAS. Namun mengalah dengan keputusan majoriti yang bersangka baik. Pandangan beliau dianggap kolot pada waktunya, tetapi lama selepas pemergiannya, dan Saari menjadi duri dalam daging mengucar-kacirkan PAS dari dalam, barulah orang mula kenangkan apa yang dikata al-marhum.

Walaupun orang menganggap cara Tuan Guru Harun Taib terlalu rigid, tetapi rigid itulah yang melahirkan maestro dakwah, siasah dan dakwah seantero Malaysia hari ini, yang membawa PAS ke tahap terbaik kini sejak ia ditubuhkan. Dalam isu perkaderan, beliau langsung tidak berkompromi denga Abim, Jim, IRC, Ikram atau mana-mana jemaah sekalipun hatta yang mendakwa sebagai Ikhwanul Muslimin.

Saya masih menyimpan rapi pesanan al-marhum ketika berusrah dengannya di hujung usia beliau:

“PAS bukan Ikhwanul Muslimin. PAS bukan PKS. PAS bukan Hamas. PAS adalah PAS”

Kini, rigid itu kembali dirindu. Entah siapa yang boleh mewarisi wataknya sekarang. Isu mahasiswa dan perkaderan tidak pernah habis. Pertembungan fikrah Islam juga terus berlaku. Namun hero itu telahpun pergi.

Kini, atas nama BPMS yang disalah erti, pertembungan itu seolah dihalalkan dan diraikan hingga ke peringkat yang tidak sepatutnya. Keaslian perjuangan Islam ditabrak dengan kekaguman terhadap tokoh-tokoh penghafal kitab tertentu, yang tidak pernah kenal apa itu perjuangan Islam.

Pada tarikh penuh nostalgia ini, cuma satu yang diharap hati. Semoga lahir ramai lagi jelmaan Harun Taib. Jemaah ini semakin kehausan sentuhannya. -HARAKAHDAILY 1/2/2018