Home Berita PAS Terengganu

Bidong Flora Fest 2025 dibanjiri peminat bunga

9
SHARE

SETIU – Penganjuran Bidong Flora Fest (BFF) 2025 yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) dilihat benar-benar mendapat sambutan meriah para pengunjung.

Berdasarkan tinjauan urusetia, dianggarkan malam tadi, karnival selama empat hari yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu itu, dibanjiri sekitar 10,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, BFF 2025 telah mencapai sasaran yang dimahukan samada dari aspek kehadiran pengunjung ataupun dari sudut persembahan peserta dalam festival berkenaan.

“Penganjuran ini (festival flora) adalah kali pertama untuk kami dan kali pertama juga diadakan untuk Terengganu.

“Kalau berjaya, saya yakin pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkan penganjuran secara tahunan.

“Elemen-elemen yang diterapkan dalam reruai dan taman ini sebenarnya memang bertujuan mendidik rakyat untuk menghargai alam, mencintai tumbuhan dan keindahan yang ada dalam negeri kita.

“Proses ini perlukan masa dan kita harap dengan agenda ini kita mampu terapkan pada masyarakat untuk menyantuni alam kita,” katanya ketika ditemui selepas sesi walk about di sepanjang reruai BFF 2025, semalam.

Tambahnya, festival flora itu disertai lapan pejabat daerah dan tiga syarikat yang bertanding merebut gelaran juara taman flora terbaik yang akan diumumkan esok.

Selain itu, Karnival TIEP turut mengetengahkan pelbagai acara sukan berkuda seperti Horse Jumping, kereta kuda berhias dan Horse Show.

Malam ini, pertandingan dikir barat akan meneruskan saingan dengan enam lagi pasukan akan mempersembahkan kehebatan mereka.

Oleh itu, Hishamuddin menyeru masyarakat sekitar mahupun yang berkelapangan untuk hadir memeriah malam terakhir Karnival TIEP, hari ini.