Home Berita PAS Sabah

BERZIARAH DAN HUBUNGKAN SILATURAHIM SEMPENA HARI NATAL

1582
SHARE

1. Dewan Ulama PAS Negeri Sabah (DUPNS) hari ini mengingatkan masyarakat Sabah supaya saling berziarah dan hubungkan silaturrahim sempena Hari Natal yang akan datang.

2. Masyarakat Sabah yang mempunyai latar belakang yang pelbagai dari segi agama dan budaya mesti terus menunjukkan semangat kesatuan dan keharmonian. Tambahan pula di Sabah ini ada keluarga yang mempunyai perbezaan agama. Kadangkala dalam satu keluarga ada yang beragama Kristian dan ada yang beragama Islam.

3. Saya berpesan kepada sesiapa yang telah memeluk Islam tetapi keluarga mereka masih dalam agama Kristian, jangan sesekali putuskan hubungan silaturahim dan kekeluargaan.

4. Perbezaan agama tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam keharmonian keluarga. Malahan dalam Islam, seseorang anak masih wajib mentaati ibu bapa mereka yang belum Islam selagi arahan mereka tidak bertentangan dengan syariat. Seorang anak tetap wajib meneruskan hubungan kekeluargaan dengan ibubapa biarpun mereka belum Islam.

5. Itulah ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya ini diamalkan oleh seluruh masyarakat nescaya tidak akan berlaku kecelaruan dan perbalahan.

6. DUPNS rasa terpanggil untuk menyampaikan mesej ini supaya seluruh masyarakat memahami keindahan ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak menghalang hubungan keluarga biarpun terdapat perbezaan agama. Saya juga mengharapkan rakyat Sabah terus memupuk keharmonian ini supaya kemajuan negeri Sabah kelak akan mempunyai asas kesatuan yang kukuh.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Sabah
23 Disember 2018