Home Berita PAS Terengganu

Bersungguh dalam penulisan untuk dakwah dan perjuangan

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Para aktivis Ameerah diingatkan agar terus memperkukuhkan niat dan tingkatkan kesungguhan dalam penulisan, menyebarkan fikrah Islam untuk dakwah dalam perjuangan.

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT), To, Puan Hajah Zarani Othman berkata, semua anggota Ameerah perlu sedar, kemahiran menulis sangat penting untuk menyampaikan mesej yang berkesan kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu tulisan kita hilang rohnya.

“Kita mahu penulisan kita memberi kesan, membangkitkan semangat, menjadi asbab hidayah dan kebangkitan ummah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bengkel Penulisan Politik yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat, DUN Wakaf Mempelam, pada jumaat lalu.

Menurutnya, betapa hebatnya insan yang menyampaikan Islam, mengangkat risalah demi meninggikan agama Allah.

“Tugas ini bukan mudah, tetapi ia sangat mulia dan tinggi nilainya di sisi Allah,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru semua aktivis Ameerah mesti bersungguh-sungguh dalam perjuangan ini.

“Allah pasti akan bantu dan permudahkan, asalkan kita letakkan pergantungan kepadaNya,” katanya.

Zarani menambah, dalam perjuangan ini, aspek politik sering menjadi perbahasan.

“Politik bukan semata-mata soal kuasa atau kemenangan.

“Ia adalah proses membentuk pentadbiran Islam secara kolektif. Dalam erti kata lain, politik juga berkait rapat dengan hubungan bersama masyarakat.

“Ia bukan hanya soal pemerintahan, tetapi juga soal menyantuni ummah, membina dasar, menyusun strategi dakwah,” tegasnya.

Beliau menambah, qunut Nazilah adalah senjata doa umat Islam.

“Jangan tinggalkan. Dunia penuh cabaran hari ini, doa adalah benteng kita.

“Ia menghubungkan kita dengan kekuatan langit, memberi ketenangan jiwa dan kekuatan hati dalam perjuangan,” tambah Zarani lagi.