Home Rencana PAS Selangor

Bersih cekap amanah dan PM baru – Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor

100
SHARE

May be a black-and-white image of 3 people and people standing

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Us Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor

Sekonyong-konyong saya teringat dengan slogan Bersih Cekap Amanah ini.

Slogan ini bermain dibibir Dr. Mahathir dulu. Dulu, di awal-awal beliau menjadi Perdana Menteri. Banyak kejayaan yang Dr. Mahathir buat untuk negara dengan berlapikkan slogan ini, namun banyak juga kekecewaan yang beliau tinggalkan.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk menulis tentang PM dua kali itu, tetapi mahu mencatatkan senarai kemahuan untuk PM baru kita Dato Seri Ismail Sabri Yakub (DSIS).

Sebelum itu, paling awal, saya percaya anda bersetuju dengan saya bahawa yang pertama kita boleh menarik nafas panjang sambil mengurut dada. Rasa lega. Lega apa? Lega kerana pentadbiran kerajaan Malaysia tidak porak peranda. Pertukaran Perdana Menteri cukup teratur.

Rata-rata rakyat Malaysia gembira dengan suasana ini.

Seterusnya, saya juga percaya anda sependapat dengan saya bahawa kita mengharapkan momentum cara bekerja pentadbiran kerajaan terdahulu akan terus berjalan dengan lancar, malah lebih baik dan lebih laju, terutama dalam mengendalikan urusan berhadapan dengan wabak penyakit covid.

Kejayaan kerajaan dalam menangani wabak covid sudah mula kelihatan. Alhamdulillah. Jumlah katil di wad ICU yang menurun serta jumlah kes yang terus terkawal adalah indikator penting yang membuktikan usaha kerajaan di bawah kepemimpinan PM Tan Sri Muhyidin adalah betul.

Pandangan saya, pasukan bekerja PM terdahulu sewajarnya dikekalkan, atau jika PM baru ini mahu melakukan perubahan biarlah perubahan itu memberi kesan langsung kepada keberkesanan pentadbiran.

Paling mustahak ialah pasukan bekerja yang punya integriti tinggi.

Soal Integriti tiada kompromi. Dan kita sangat berharap agar PM DSIS tidak bergajak daripada itu. Saya percaya DSIS mendengar hasrat ini, dan DSIS komited ke arah itu, insyaAllah.

Sesungguhnya negara kita wajib keluar daripada belenggu lilitan hitam yang menjerat kaki daripada melangkah jauh kehadapan. Lilitan hitam itu ialah rasuah dan salah guna kuasa.

Sudah cukup sejarah lama sebagai pengajaran. Jangan diulangi lagi kesilapan lalu. Kesilapan yang disedari – rasuah dan salah guna kuasa – ini cukup dibenci oleh rakyat semua. Malangnya, sekalipun ianya disedari, namun masih diulangi dan diulangi.

Wahai PM yang kami hormati, dengarlah suara ini. Tidak perlu menunggu PRU-15 untuk mendapat mandat baru untuk maksud itu. Sekarang adalah masa terbaik untuk membawa negara maju kehadapan. Maju membawa sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

Tidak mengapa jika PM baru kita mahu mengungkap apa-apa slogan baru, namun biarlah nilai dan maksud bersih, cekap dan amanah dapat direalisasikan.

Bersih cekap amanah adalah bukti bagi integriti.

24 Ogos 2021 | 15 Muharram 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor