Home Artikel PAS Wilayah

Bersatulah Dengan Tali Allah Dalam Mendepani Fitnah Perpecahan

277 views
SHARE

BATU, 24 Mac – Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu kali ke 34 telah berlangsung dengan jayanya pagi ini di Dewan Orang Ramai Taman Koperasi Polis Fasa 2, dekat sini.

Mesyuarat yang dirasmikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki itu berlangsung penuh mahabah dengan kehadiran para perwakilan dari Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan cawangan – cawangan PAS Kawasan Batu. Majlis perasmian mesyuarat agung kali ini juga mencatat sejarah tersendiri bagi PAS Kawasan Batu kerana turut dihadiri oleh pimpinan UMNO Bahagian Batu serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita bahagian itu.

Dr Mohd Zuhdi dalam ucapan perasmian beliau, dengan jelas menerangkan sebuah hadis tentang fitnah yang akan sentiasa melanda umat Islam seperti ombak besar iaitu fitnah perpecahan umat Islam.

“Fitnah perpecahan umat Islam berlaku sejak dari zaman sahabat hinggalah akhirat. Walaupun perpecahan demi perpecahan berlaku, akan sentiasa ada ulamak, ketua atau kumpulan yang akan menyatukan semula umat Islam.

Setiap kurun akan ada seorang mujaddid atau para mujaddid yang berusaha untuk menyatukan umat Islam dan akan ada orang Islam serta musuh Islam yang tidak mahu melihat umat Islam bersatu.

Oleh itu, berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai,” seru beliau lagi sambil memetik ayat 100 dan 103 dari Surah Ali Imran.

Seruan Dr Zuhdi ini bertepatan dengan perkembangan positif landskap politik negara yang melihat ta’awun siasi sudah berlaku di antara PAS dan UMNO.

Timbalan Yang DiPertua PAS, Encik Shamsuddin Yaacob dalam ucapan alu – aluan beliau turut menyebut bahawa kerjasama ini juga merupakan rahmat dari Allah SWT demi meninggikan agama Islam di negara Malaysia yang dicintai ini.

Mesyuarat diteruskan selepas majlis perasmian dengan perbahasan dan perbincangan yang penuh semangat oleh para perwakilan demi mencari formula untuk menambah baik gerak kerja PAS di Batu.

Di penghujung mesyuarat, barisan kepimpinan PAS Kawasan Batu bagi sesi 2019 – 2021 telah dimasyhurkan dengan menyaksikan tiga tampuk pimpinan teratas dikekalkan iaitu Ustaz Azhar bin Yahya sebagai Yang DiPertua PAS, En Shamsuddin bin Yaacob sebagai Timbalan Yang DiPertua dan Haji Abu Bakar bin Abdul Rahman sebagai Naib Yang DiPertua.

Tahniah dan takziah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah terpilih. Seerru ‘ala barakatillah!