Home Berita PAS Perlis

Berjuanglah Wahai Muslimat Seperti Khaulah Al-Azwar

1576
SHARE

 

ARAU : Muslimat perlu menjadi komponen penting dalam perjuangan Islam sebagaimana teladan ditunjukkan Khaulah al-Azwar al-Kindi dan bukan hanya sebagai suri kepada keluarga.

Demikian intipati penting dipertegaskan Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis, Ustazah Ummu Tasneem Zainol pada Fastaqim PAS Kawasan Arau di Markas PAS Cawangan Pauh 3 Beradik Sanglang, di sini 10 September lalu.

Menurutnya, tanpa perjuangan menatijahkan banyak kesan termasuk ke atas rumah tangga sebagaimana kes suami berkelakuan jelik dengan anak perempuan sendiri.

Kerana katanya, isteri tidak punya kekuatan untuk meluahkan rasa apatah lagi menegur suami hingga anak menjadi mangsa kerosakan pemikiran akibat pincangnya institusi keluarga.

Terang beliau, Khaulah dalam hayatnya telah membuktikan keberanian dan kepahlawanan serta ketangkasan menunggang kuda yang namanya tercatat megah dalam sejarah Islam.

Jelasnya, muslimah itu telah dibesarkan dalam rumah yang penuh watak keberanian, kemuliaan serta kewibawaan di mana ayahandanya terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah S.A.W.

“Khaulah juga adalah saudara perempuan kepada Dhirar al-Azwar iaitu penunggang kuda yang sangat terkenal dalam kalangan bangsa Arab di zaman itu.

“Khaulah telah keluar bersama-sama saudaranya dalam satu pasukan tentera Muslimin yang menuju untuk menakluki Rom di bawah pimpinan Khalid al-Walid,” ujarnya mahu susuk itu menjadi motivasi perjuangan oleh Muslimat.

Tegasnya, perkara itu sangat penting kerana kaum muslimat yang turut berada dalam perjuangan adalah golongan paling merasai denyut nadi permasalahan dalam masyarakat.

Malah katanya, telah menjadi sunnah perjuangan bahawa jalannya penuh kepayahan dan panjang sebagaimana dirakamkan Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Perlis, Ustazah Latifah Mat turut berkongsi kepayahan dilalui Muslimat PAS dalam perjuangan terdahulu, berbanding kemudahan yang ada sekarang ini.

“Janganlah kita berasa keseorangan apabila menjalankan kerja jamaah, kerana Allah akan sentiasa membantu kita.

“Turunlah dekati masyarakat, ringankan mulut untuk mengajak masyarakat mengenali PAS khususnya dan Islam amnya,” seru beliau.

Sempena program tersebut, turut diadakan pertandingan masakan dan disertai oleh masyarakat setempat yang hadir.

{jathumbnail off}