Home Berita PAS Johor

Berinfaqlah untuk ganjaran berterusan- PJ PAS Johor

52
SHARE

Oleh : Sharifah Ajil

MUAR, 25 Jul : “Walaupun hanya sedikit, orang yang berinfaq secara berterusan pasti akan diberi ganjaran oleh Allah dengan rezeki yang melimpah-ruah.”

Demikian ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Abdullah Husin dalam Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Johor yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom semalam.

Beliau memetik ayat 261 dari Surah Al Baqarah yang bermaksud, “Perumpamaan bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui”.

“Jihad itu berterusan sehingga hari kiamat.

“Justeru, dalam suasana masa kini memaksa kita berkorban harta benda dan wang ringgit, infaq jihad fisabililah membantu dana untuk keperluan perjuangan Islam amat-amat diharapkan” jelas beliau dalam menghuraikan sabda Nabi s.a.w.

Abdullah mengucapkan terima kasih kepada pihak PAS Pusat dan PAS Negeri Johor yang telah banyak membantu berusaha mengambil langkah sebagai persediaan menghadapi PRU 15 dengan mengadakan konvensyen ini.

Beliau menyeru semua untuk bersama-sama menyumbang kepada tabung dana menghadapi pilihanraya yang akan datang.

“Seorang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan syurga.

“Seorang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari manusia dan jauh dari syurga tapi dekat api neraka” tambah beliau.

Dengan maksud hadis tersebut, beliau telah melancarkan tabung dana Lajnah Penerangan dan Media Baharu Negeri Johor di akhir ucapannya.

Sementara itu,menyorot pada ulasan seorang peserta konvensyen, Abd Aziz Talib yang juga merupakan YDP PAS Muar, beliau amat tertarik dengan saranan YB Senator Idris Ahmad yang mengharapkan jentera petugas dari golongan orang muda untuk sama-sama turun membantu gerak kerja pilihanraya, yang mana kemahiran mereka khususnya dalam teknologi maklumat amat diperlukan.

Konvensyen Penerangan & Media Baharu PAS Negeri Johor ini telah dihadiri seramai 135 peserta dari seluruh kawasan.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, YB Senator Idris Ahmad.