Home Berita PAS Terengganu

Beri perkhidmatan dengan penuh profesional dan berintegriti

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Warga kerja Yayasan Terengganu diseru agar terus memberi perkhidmatan yang mengutamakan rakyat dengan penuh profesional, progresif dan berintegriti.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, beliau percaya seiring dengan transformasi teknologi maklumat di zaman Revolusi Industri 4.0, kepantasan serta kecekapan memainkan peranan sangat signifikan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Bagaimanapun, dalam mengejar kecemerlangan bagi memastikan tahap perkhidmatan diberikan memenuhi ekspektasi rakyat, pengurusan emosi dan tekanan di tempat kerja tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan tahap produktiviti individu.

“Justeru, hadapi setiap tekanan dengan cara yang positif, rehat yang mencukupi, dapatkan sokongan mentor serta bahagikan masa dengan efektif agar keseimbangan pekerjaan dan kehidupan dapat dicapai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Menurut beliau, Yayasan Terengganu merupakan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membangunkan modal insan dengan menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran peringkat tinggi kepada rakyat Negeri Terengganu.

“Justeru, sistem penyampaian produktif serta berkualiti amat penting bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat manfaat sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri,” ujarnya.