Home Berita PAS Perlis

Beri Hukuman Tegas, Ajar Kebiadapan DAPSY

709
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis menyifatkan tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak memasang pelekat bahasa Cina pada papan tanda di negeri berkenaan sebagai keterlaluan dan tidak menghormati sensitiviti kaum di negara ini.

Jelas Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd. Shukri Ramli, perbuatan berkenaan bukan sahaja melanggar undang-undang malah menyerlahkan lagi wajah sebenar DAPSY dan DAP.

“Jika sebelum ini mereka (DAP) berulang kali menegaskan bahawa DAP menghormati perlembagaan dan undang-undang negara, lagak DAPSY pula menunjukkan sebaliknya.

“Belumpun reda isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, kini mereka seolah-olah cuba ‘mengajar’ rakyat bahawa undang-undang tidak perlu dipatuhi dan ‘mana-mana pihak bebas membuat undang-undang sendiri’ demi memenuhi kemahuan mereka.

“Jika terus dibiarkan, kita bimbang tindakan demi tindakan melampau seumpama ini akan mencetuskan keadaan kurang harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya ketika dihubungi di sini pagi tadi.


Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar raya Kuching yang tular, kelmarin.

Justeru kata Mohd. Shukri, PAS Negeri Perlis menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri bahawa tindakan bakal dikenakan kepada mana-mana pihak yang melakukan provokasi perkauman dalam negara.

Kita berharap agar tiada pihak dalam negara kita yang cuba mengekspliotasi isu-isu berkaitan agama dan kaum termasuk isu hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan semata-mata ingin meraih kepentingan politik.

Sekiranya masih berlaku, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada dalam undang-undang negara,” ujarnya.