Home Berita PAS Pusat

Berdirinya Sarekat Islam Sebagai Badan Hukum: Permulaan Sejarah Gerakan Islam (30 Ramadhan 1330)

1493
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN

BERDIRINYA SAREKAT ISLAM SEBAGAI BADAN HUKUM: PERMULAAN SEJARAH GERAKAN ISLAM (30 RAMADHAN 1330)


PERGERAKAN Islam dalam bentuk jemaah muncul pada abad ke-20M setelah runtuhnya daulah-daulah Islam, iaitu selepas 1,342 tahun menguasai politik dunia. Berbeza dengan wilayah lain, Nusantara yang dijajah sejak 1511M, merupakan rantau yang paling mencabar dan menjadi tumpuan kuasa emperial Kristian. Selepas kejatuhan Melaka (1511M), Sunda Kelapa (Jakarta) mulai diduduki oleh Belanda pada 1695, kemudian British menduduki Pulau Pinang pada 1876, sebelum Singapura turut dikuasai pada 1819.

Perang Napoleon di Eropah kemudiannya membawa kepada Konvensyen London 1814 dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menandakan pecahnya kerajaan-kerajaan Islam seperti Kerajaan Aceh dan Kerajaan Johor-Riau yang menguasai Selat Melaka. Lanjutan dari itu, berlakunya Perjanjian Siak 1858 dan Perjanjian Pangkor 1874 yang melumpuhkan kuasa politik Islam di Nusantara. Memasuki abad ke-20, kerajaan-kerajaan terakhir mulai runtuh dengan jatuhnya Pattani (1902M), Aceh (1903M), Tidore (1904M) dan Banjar (1905M), serta Perjanjian Inggeris-Siam 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 yang membawa kepada penguasaan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

Perjuangan Politik Islam: Dari Daulah Kepada Harakah

Kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara telah membuka langkah para ulamak dalam perjuangan Islam di rantau ini. Ketika Daulah Othmaniyah masih berkuasa, sudah banyak negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah Barat, kerana itu, sehingga abad ke-18 Alam Melayu diwarnai oleh perperangan mempertahan Islam seperti gerakan Adipati Yunus di Melaka (1517 dan 1521M), gerakan Sunan Fatahillah di Sunda Kelapa (1522M), gerakan Sultan Agung Mataram (1628-1633), gerakan Sultan Hassanudin Makasar (1666-1669), gerakan Sheikh Yusof Makasari di Banten (1682-1683) dan gerakan Raja Haji di Melaka (1784M). Penentangan besar-besaran untuk mempertahankan tanah air berlaku sepanjang abad ke-19 di seluruh Nusantara.

Setelah lebih 200 tahun para ulamak bergerak mempertahankan Kerajaan Islam, menjelang akhir abad ke-19, para ulamak Nusantara memulakan langkah baru melalui pembentukan jemaah-jemaah Islam bagi menuntut pengembalian daulah. Bermula dengan penubuhan Jam’iyatul Fathaniyah di Mekah (1873M), ditubuhkan pula di Pulau Penyengat, Riau badan-badan Islam iaitu Jam’iyatul Rusyidiyah (1880M) dan Jam’iyatul Khairiyah (1884M). Setelah itu berkembang organisasi Islam di Singapura sepanjang 1890-an seperti Persekutuan Darul Adab, Persekutuan Jawi Masakin dan Harbab Askadan, sebelum ia berkembang di Tanah Melayu dan Jawa. Pengaruh Jam’iyatul Khairiyah kemudian berkembang di Betawi sehingga tertubuhnya Jami’at Kheir (atau Djamiat Choir) pada 1901. Dari pembentukan Jam’iat Kheir inilah terinspirasinya penubuhan Sarekat Dagang Islam (SDI) di Solo pada 16 Oktober 1905.

Sarekat Islam Pelopor Gerakan Islam Moden

SDI yang ditubuhkan pada 1905 oleh Haji Samahundi untuk menyatukan gerakan ekonomi Islam, telah bertukar menjadi pergerakan politik Islam apabila ia mula dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) mulai 1906. Perkembangan SI dalam organisasi yang tersusun dilihat sebagai ancaman oleh Belanda. Belanda bukan sahaja menyekat perkembangannya, tetapi turut menubuhkan Sjarikat Dagang Islamiyah pimpinan R.M Tirtoadisurjo pada 1909. Haji Omar Said (HOS) Cokroaminoto yang memimpin SDI Surabaya kemudiannya bergabung dengan Haji Samahundi pada 1912 dan mengambil alih kepemimpinan SI. Bagi mengukuhkan perjuangan SI, pada 10 September 1912, HOS Cokroaminoto telah mendaftarkan SI sebagai badan hukum yang bergerak dalam bidang politik dan agama, selain ekonomi di seluruh Indonesia, tidak terhad di Pulau Jawa sahaja.

Pendaftaran SI kepada notaris B. Ter Kuile di Solo ini telah menetapkan tujuan untuk memperjuangan ekonomi umat Islam, mengembangkan pendidikan Islam, menyatukan pendapat-pendapat orang Islam dan membentuk kehidupan berdasarkan agama Islam. Dengan tujuan baru ini, ia telah mengubah SI daripada sebuah badan ekonomi, berkembang menjadi badan agama dan politik Islam. Pendaftaran SI telah diluluskan dua hari kemudian, iaitu pada 30 Ramadhan 1330H bersamaan 12 September 1912M, dan pada 14 September 1912, pemerintah Belanda telah mengesahkan perubahan tujuan dasar SI, lalu menjadilah SI sebagai gerakan politik Islam yang pertama di dunia. Setelah itu, ia bermetamorfosis dengan membentuk Central Sarekat Islam (CSI) pada 1916M, sebelum berkembang menjadi Partai Sarekat Islam (PSI) (1920M), Partai Sarekat Islam Hindia Timur (PSIHT) (1923M), Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII) (1929M), Syarikat Islam (PSII) (1973M) dan kini dikenali sebagai Syarikat Islam (SI) mulai 2003.

Kemunculan SI di pentas politik gerakan Islam telah mendahului semua gerakan Islam lain di dunia. Dalam masa yang cepat, pengaruh SI telah berkembang di seluruh Indonesia. Jumlah keahliannya meningkat dari 4,500 anggota pada 1912M, kepada 800,000 pada 1916M. Di Tanah Melayu, cawangan-cawangan SI telah ditubuhkan di Singapura, Johor Bahru, Beserah, Kuala Nerus, Marang, Kota Bharu, Pattani dan Pulau Pinang antara 1920-1928M. Perkembangan ini telah menyebabkan SI disabotaj oleh penjajah dengan isu khilafiyah dan komunis pada pertengahan 1920-an yang menyebabkan ia berpecah. Selepas munculnya SI, barulah muncul Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928M), Hizbul Istiqlal di Moroko (1936M), Jamaat-e-Islami di India (1941M) Masyumi di Indonesia (1943M), Hizbul Muslimin di Tanah Melayu (1948M) dan PAS (1951M). Ternyata kejayaaan mendaftarkan SI pada akhir Ramadhan 1330H telah membawa kepada perkembangan gerakan Islam moden pasca kejatuhan khalifah.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
1 Syawal1438 / 15 Jun 2018