Home Minda Presiden

Berdakwah dan berpolitik: Para Rasul tidak bersara sehingga wafat

153
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 23 / 2023]
BERDAKWAH DAN BERPOLITIK: PARA RASUL TIDAK BERSARA SEHINGGA WAFAT


Semua para rasul AS melaksanakan tugas berdakwah dan berpolitik tanpa terpisah antara satu sama lain, sebaik sahaja masing-masing dilantik menjadi Rasul sehingga menemui kewafatan. Mereka tidak bersara melaksanakan tugas tersebut disebabkan faktor usia, kerana mahu mengisi usia di alam dunia seberapa banyak yang mungkin, dan mereka mempunyai wawasan akhirat yang kekal abadi.

Para rasul itu menjadi ikutan dan teladan kepada seluruh manusia, mereka berdakwah membawa Islam yang sempurna bagi menyelamatkan dan mengajak manusia kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran. Khususnya, kemungkaran yang dilakukan oleh pihak yang memerintah negara melibatkan aspek politik yang menyebabkan kemungkaran yang besar menimpa umat dan negara.

Al-Quran menceritakan bahawa semua rasul berdakwah dan berpolitik dalam menghadapi kerajaan dan rakyat pada zaman masing-masing sepanjang hayat, sehingga tamat ajalnya di alam dunia.

Hanya sejumlah kecil dalam kalangan rasul sahaja yang sempat memimpin negara. Manakala sebahagian besarnya tidak berkesempatan sehinggakan mereka wafat, dan sebahagian lagi bersama pemerintah tanpa memimpin negara.

Nabi Daud AS menjadi khalifah, Nabi Sulaiman AS pula menjadi raja dan Nabi Muhammad SAW memimpin dan memerintah negara dengan adil bersama petunjuk Allah SWT, mereka semua berdakwah dan berpolitik sehingga wafat.

Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Harun AS dan lain-lain tidak sempat melihat kerajaan berdaulat yang menjadikan kitab Allah sebagai petunjuk dan terus berjuang sehingga masing-masing wafat. Nabi Nuh AS berdakwah dan berjuang sehingga 950 tahun lamanya tidak bersara sehingga Baginda wafat.

Malah, ada nabi yang hanya memberikan petunjuk Allah kepada suatu kaum tanpa menjadi ketua negara atau raja. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧﴾

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 247)

Berdasarkan ayat di atas, menunjukkan bahawa nabi itu hanya menjadi penasihat tanpa menjadi khalifah dan raja. Bahkan dalam surah Yasin juga menceritakan tiga rasul yang mati bersama seorang pengikut sahaja.

Oleh itu, teori supaya bersara daripada perjuangan kerana usia adalah semata-mata teori Barat sekular yang tidak beragama dan tidak berwawasan akhirat. Ia bukan daripada ajaran Islam yang berwawasan akhirat.

Justeru, saranan sedemikian wajib ditolak, sekalipun yang mengatakannya itu bertaraf ahli falsafah, pemikir, ilmuwan, profesor dan sebagainya, kerana ilmunya tanpa berpandukan hidayah. Ukuran mereka itu hanyalah faktor umur, bukan faktor mukallaf.

Firman Allah SWT:

﴿لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ٢٨٦﴾

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), ‘Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami, jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat, sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami; serta ampunkanlah dosa kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami untuk menghadapi kaum yang kafir.’” (Surah al-Baqarah: 286)

Turut dimasukkan dalam doa adalah permohonan kepada Allah agar diberikan pertolongan dalam perjuangan menentang musuh-Nya. Allah SWT berfirman kepada orang-orang yang beriman:

﴿ٱنفِرُواْ خِفَافٗا وَثِقَالٗا وَجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ٤١﴾

“Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Oleh yang demikian, itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Surah al-Tawbah: 41)

Perkataan ringan dan berat ditafsirkan dengan muda dan tua, senang dan susah, kepada setiap individu yang mukallaf dalam takrif Islam, selagi berakal dan mempunyai apa-apa kemampuan.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Talhah RA pernah dihalang oleh anak-anaknya daripada menyertai perjuangan mengharungi lautan kerana faktor usianya yang terlalu tua sehingga jatuh keningnya yang kecut. Namun, beliau menengking dan memarahi anak-anaknya yang menghalangnya dengan membacakan ayat yang disebutkan di atas.

Seseorang manusia itu diwajibkan beramal mengikut kemampuan, selagi mereka berakal dan tidak nyanyuk. Begitu juga dengan tenaga yang masih ada, ilmu dan akal yang waras, harta dan segala tenaga yang masih ada, melalui lisan dan tulisan, termasuk akalnya selagi ada kemampuan sekurang-kurangnya berdoa. Melainkan mereka yang hilang akalnya.

Allah SWT mentafsirkan perjuangan pada zaman sudah tiada nabi lagi dengan tetap adanya kumpulan yang menegakkan agama dan umatnya. Perkara ini telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perkara yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa cabaran pada akhir zaman adanya kumpulan yang wajib dihadapi oleh umat Islam. Hal tersebut disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yamani RA. Apabila ditanyakan mengenai apa yang akan berlaku pada akhir zaman, adakah kejahatan yang akan muncul, maka jawab Baginda SAW:

نَعَمْ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا.

“Ya, akan ada (kemunculan) kumpulan yang menyeru ke arah neraka Jahanam, sesiapa yang mengikutinya, nescaya akan dicampak bersama ke dalam neraka itu.”

Huzaifah berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا.

“Sebutkan sifat (rupanya) kepada kami, wahai Rasulullah!”

Baginda bersabda:

هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا.

“Mereka itu daripada kalangan bangsa kita dengan warna kulit yang sama dan berbicara dengan bahasa kita.”

Huzaifah bertanya:

فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ؟

“Apakah perintahmu kepada kami, sekiranya kami berkesempatan menemui kumpulan itu?”

Rasulullah SAW bersabda:

تَلْزَمُ ‌جَمَاعَةَ ‌المُسْلِمِينَ ‌وَإِمَامَهُمْ.

“Ketika itu, kamu hendaklah bersama kumpulan orang Islam dan pemimpin yang menentang (penyelewengan).”

Lantas Huzaifah bertanya lagi:

فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ؟

“Jika tiada jemaah (kumpulan Islam) mahupun pemimpin?”

Baginda SAW bersabda:

فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الفِرَقَ كُلَّهَا، وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ، حَتَّى يُدْرِكَكَ المَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ.

“Maka, pisahkan diri kamu daripada semua kumpulan yang sesat itu. Sekalipun terpaksa memamah pangkal pokok (kerana tiada makanan), sehingga engkau mati (dalam keadaan berpegang teguh kepada prinsip yang betul).” (Riwayat al-Bukhari, dalam bab ‘Alamah al-Nubuwwah fi al-Islam, no. 7084 dan Muslim, dalam bab al-Amr bi Luzum al-Jama‘ah, no. 1847)

Apa yang dijelaskan dalam hadis di atas menunjukkan betapa besarnya perjuangan untuk menegakkan kebenaran menentang pihak yang salah secara berterusan sehingga akhir hayat.

Maka, nasihat supaya bersara daripada perjuangan menegakkan perintah Allah adalah perbuatan yang salah dan bercanggah dengan ketetapan dalam Islam.

Sebaliknya, menasihat dan mengajak kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran, khususnya dalam perkara yang melibatkan masyarakat umum adalah kewajipan besar yang wajib ditunaikan. Hal ini mesti ditunaikan selagi ada hayat yang berakal dan lidah yang boleh bercakap, pena yang mampu menulis dan akal yang mampu berfikir. Firman Allah SWT:

﴿وَٱلۡعَصۡرِ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ٣﴾

“Demi masa. (1) Sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya tetap dalam kesabaran. (3)” (Surah al-‘Asr: 1-3)

Surah al-‘Asr ialah sebuah surah yang ringkas, namun ia memberikan makna yang padat. Surah dimulakan dengan sumpah Allah SWT dengan masa yang memakan umur manusia, supaya sepanjang masa dengan penuh keimanan diisi dengan amal soleh dalam segala lapangan. Pada masa yang sama, tetap berjuang menegakkan kebenaran dengan penuh kesabaran sepanjang hayat.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 13 Ramadan 1444 / 4 April 2023