Home Berita PAS Terengganu

Beras rosak boleh dijadikan makanan ternakan

29
SHARE

KUALA TERENGGANU – Beras rosak dan dikatakan tidak selamat dimakan manusia masih boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan berbanding dibuang begitu sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sangat merugikan jika hasil titik peluh para petani di sawah akhirnya dibuang di tempat pembuangan sampah.

“Ketika majoriti rakyat sukar untuk mendapatkan bekalan beras, ada pihak yang boleh menyimpan stok beras sehingga rosak. Biasanya kerana lama tempoh masa ia disimpan,” ujar beliau ketika mengulas isu beras dibuang di Pahang.

Menurut beliau, beras yang dimasuki bubuk bukan bermakna beras telah rosak dan tidak selamat dimakan.

Jelas Dr Azman, ia boleh dicuci dan dibersihkan semula menggunakan mesin yang ada di kilang pembungkusan beras.

“Memang beras tempatan agak cepat masuk bubuk berbanding beras import kerana beras tempatan tak ada campuran bahan kimia.

“Tiada bahan kimia menjadikan ia lebih baik dan selamat untuk dimakan.

“Bubuk juga cepat masuk jika beras disimpan ditempat lembab. Tolong jangan buang beras kalau tengok ada bubuk. Ia masih selamat dimakan selepas dicuci dan diproses semula,” katanya.

Terdahulu, tular video yang memaparkan barangan asas antaranya beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah.

Video tular sejak semalam di media sosial itu telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.