Home Artikel PAS Selangor

“Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor – Jabatan Amal Selangor Bantu Selesai Masalah Banjir Akibat Ban Pecah Kerap Berlaku Di Daerah Sepang.

273
SHARE

Sepang, Selangor | 4 Ogos 2020

Beberapa hari ini sudah masuk kali ketiga dalam tempoh 40 hari sebahagian kawasan Daerah Sepang terlibat dengan banjir akibat hujan lebat dalam masa sebulan dan terbaru adalah yang berlaku pada awal pagi Hari Raya pertama Aidiladha lalu.

Pada 22 Jun lepas beberapa kawasan di Salak Tinggi telah ditengelami air akibat ban pecah, kemudian pada 17 Julai pula berlaku lagi banjir di kawasan Dengkil dan terkini 31 Julai di kawasan yang sama juga telah berlaku banjir dan paling menguji penduduk adalah banjir berlaku pada hari pertama Umat Islam menyambut Perayaan Aidiladha.

Menurut JPS Daerah Sepang faktor hujan lebat dan paras air sungai yang tinggi menyebabkan ban sungai pecah dan air melepasi ban dan pihak JPS sudah mengenal pasti lokasi kerosakan ban dan kerja-kerja membaikpulih ban sungai tersebut telah dilakukan dengan segera.

Antara kawasan yang telah dinaiki air pada pagi Raya Aidiladha baru ini adalah Kampung Revolusi Hijau, Kampung Sri Tanjung, Kampung Cemperai, Taman Kristal 2, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Orang Asli Batu 28, Kampung Sg. Buah Luar dan Taman Jenderam Aman.

Kekerapan ban pecah ini menjadi persoalan dan tanda tanya penduduk yang terkesan, “sejauh mana kawalan dan pemantauan dibuat oleh pihak JPS di kawasan ban yang rosak dan mudah pecah bagi memastikan ia tidak berlaku lagi”.

Menurut penduduk setempat, pihak JPS hanya bertindak membaiki ban setelah banjir berlaku, sebelum banjir ban-ban yang pecah tidak diselenggara dengan baik dan tidak ada tindakan untuk perkukuh dan menaikkan lagi struktur ban sedia ada.

Sebahagian penduduk sudah lali dan pasrah kerana sudah berpuluh kali mengalami banjir, dan mereka sedia maklum apabila hujan lebat di Kawasan Sepang dan Daerah Hulu Langat air Sungai di kawasan mereka akan naik dan kadar ketinggian air itu semakin meningkat dari masa ke semasa. Jika ban sungai di kawasan mereka tidak dinaik taraf dengan segera maka kebarangkalian banjir akan berlaku lagi itu tinggi.

Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor sangat terpanggil dengan isu – isu sebegini kerana pihak kami merasa simpati kepada nasib penduduk apabila pada bulan ini sahaja sudah 2 kali pihak kami turun membantu penduduk yang sama, dan mereka terpaksa menanggung kerugian harta akibat banjir tersebut.

Langkah penyelesaian yang lebih komprehensif perlu diambil oleh pihak Kerajaaan Negeri agar peruntukan yang sesuai diberikan kepada Jabatan Pegairan dan Saliran Negeri Selangor dalam melaksanakan kerja penambahbaikan ban-ban sungai tersebut.

Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengarah
Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor

#PASSelangor

#BersamaMembawaSejahtera

#IslamMemimpinPerpaduan