Oleh : Muhammad Hadi
KANGAR : Seramai 50 orang guru PASTI dari seluruh negeri Perlis telah mengikuti Bengkel Jawi PASTI Negeri Perlis Siri 3 yang diadakan di PASTI As-Solehin 1, Behor Temak, Kangar, pada 4 Ogos yang lalu.
Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada siri-siri bengkel sebelum ini di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Perlis.
Sebanyak tiga slot bengkel telah diadakan iaitu slot Celik Jawi, Ujian Kemahiran Ejaan Jawi dan slot Aktiviti, Set Induksi dan ABM, yang dikendalikan oleh penceramah undangan, Ustaz Mohd.Sabri Ismail daripada SK Lubuk Sireh.
Ustaz Noryusry Mansor, ALP PASTI Negeri Perlis berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu meningkatkan kemahiran PdP dalam kalangan guru PASTI menerusi penganjuran program-program latihan seumpama ini.
Ini menurutnya, bagi memastikan para guru PASTI dapat melaksanakan aktiviti PdP dengan lebih yakin dan berkesan, sekaligus mampu meningkatkan lagi minat serta penguasaan murid.
Pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk para peserta yang telah bersama-sama menjayakan penganjuran Bengkel Jawi PASTI pada kali ini.