“Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor
Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengurus Operasi Khidmat Malaysia Negeri Selangor
Ujian buat Negeri Selangor kali ini dengan kekerapan banjir di beberapa daerah menjadikan penghujung musim Monsun Barat Daya sebagai hari-hari yang sibuk buat Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor.
Sepanjang bulan ini Hampir setiap hari ada sahaja bencana banjir melanda di Selangor, dan kawasan Kg Lalang, Dengkil Sepang tahun ini sahaja sudah 6 kali dilanda banjir, manakala di Kuala Selangor dan Kapar banjir termenung menjadi tekanan hidup yang panjang buat penduduk kampung dan kini penduduk bandar di Shah Alam pula menerima nasib yang sama.
Dalam keadaan negara masih dilanda wabak Covid-19 diikuti dengan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya maka boleh dikatakan kini negara menghadapi situasi bencana Hibrid iaitu 2 bencana dalam satu masa.
Sejauh mana SOP keselamatan petugas diketengahkan dalam memastikan kesihatan dan keselamatan barisan hadapan kita ini menghadapi Covid-19 dan Bencana banjir dalam masa yang sama.
“Practice make perfect”
Hujung minggu lepas, Jabatan Amal Malaysia telah mengadakan satu latihan Simulasi bagi memastikan kesediaan anggota dalam melaksanakan tugas menyelamat dan bantuan kemanusiaan ketika wabak covid-19 masih melanda negara.
Anggota Amal Negeri Selangor kini telah diberikan pendedahan khas dalam berhadapan situasi bencana hibrid ini di mana hanya petugas yang sudah lengkap pengambilan vaksin, sihat tubuh badan dan tiada kontrak rapat dengan pesakit Covid-19 sahaja dibenarkan bertugas.
Seterusnya dalam memberi Khidmat kemanusiaan kepada masyarakat, langkah berjaga-jaga dalam penjarakan fizikal dengan orang awam juga dipraktikkan dan ditekankan dalam latihan tersebut.
“Alah bisa tegal biasa”, Inilah norma baharu buat semua petugas Jabatan Amal seluruh negara yang perlu diamalkan walaupun agak rumit tetapi akan menjadi kebiasaan apabila ia sering dilakukan.
Semoga Allah permudahkan dan berkati segala usaha dan gerak kerja kebajikan mereka yang mana diketahui rakyat bahawa kekuatan bekerja setiap anggota Amal itu adalah datang dari keikhlasan hati mereka membantu hanya kerana Allah dan berjuang mahu melihat kedaulatan Islam dapat ditegakkan dibumi Allah ini.
27 September 2021 | 20 Safar 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor