Home Berita PAS Terengganu

Belum sempat bergelar mahasiswa, Irfan kini hanya mampu terbaring

10
SHARE

KEMAMAN – Seorang anak muda dari Bukit Kuang, Kijal terpaksa melupakan seketika impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya, sebulan sebelum tarikh pendaftaran.

Menurut ibunya, Siti Zainab Mat Rozi, seorang suri rumah, anaknya Ahmad Irfan Muhammad Johar, 21 tahun, sepatutnya melanjutkan pelajaran dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Namun, kemalangan yang berlaku pada 30 Julai 2024 menyebabkan Irfan terlantar sehingga ke hari ini, sudah hampir 10 bulan.

“Irfan kini hanya 70 peratus sedar, tetapi masih belum mampu bercakap atau bangun sendiri,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal ke rumahnya di RMM Bukit Kuang, semalam.

Zainab berkata sebelum kejadian berlaku, anaknya sudah siapkan semua keperluan untuk masuk ke UPSI. Tapi selepas kemalangan tu, dia terus tak sedarkan diri.

“Sekarang ni, cuma boleh gerak sikit-sikit dan boleh dengar percakapan kita. Namun, masih tak boleh bercakap dan tak mampu bangun,” jelasnya.

Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata pihaknya bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) RMM Bukit Kuang akan meninjau keperluan semasa keluarga terbabit bagi menyalurkan bantuan yang sesuai.

“Sama-sama kita doakan agar saudara Irfan diberikan kesembuhan segera dan diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan setiap hari,” ujarnya.