Home Berita PAS Terengganu

Belia Terengganu Diseru Kuasai IR 4.0, AI dan Data Raya

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Belia Terengganu tidak boleh terus berada di zon selesa sebagai pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta perubahan dalam era Industri Revolusi 4.0 (IR4.0)

Yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyeru agar generasi muda menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan data raya sebagai alat mencorak masa depan negara.

“Dengan semangat generasi hebat, kita tampil sebagai generasi yang celik teknologi, progresif dan dinamik.

“Dalam mendepani cabaran industri revolusi (IR) 4.0, kita sebagai wakil generasi Z, Alpha dan bakal Beta tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi.

“Kita mesti menjadi pencipta perubahan dengan AI, robotik dan data raya di hujung jari,” katanya melalui satu ucapan dalam Persidangan Ahli Dewan Belia Negeri Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Siri ke-3, semalam.

Tambah beliau, masa depan memerlukan keberanian dan kebijaksanaan yang mesti digilap bermula hari ini, dengan sidang ADUN Belia menjadi platform latihan untuk membina pemimpin muda yang mampu bersaing di peringkat global.

Dalam ucapan tersebut, Fadhli turut menekankan kepentingan membentuk generasi belia rabbani, iaitu anak muda yang bukan sahaja celik teknologi dan progresif, tetapi juga berakar dengan nilai dan jati diri.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia , Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukanlah ruang untuk mencari kedudukan, sebaliknya perlu berteraskan khidmat kepada masyarakat.

“Dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Hibban, Rasulullah S.A.W. bersabda: Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

“Inilah prinsip utama kepimpinan dalam Islam bahawa setiap kuasa, kedudukan atau amanah mesti dikaitkan dengan khidmat kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi,” jelasnya.

Sidang ADUN Belia Terengganu yang berlangsung hari ini menghimpunkan wakil-wakil belia dari seluruh daerah, bertujuan membina wacana idea, mencetus solusi dan menyampaikan aspirasi generasi muda kepada kerajaan negeri.

“Sidang ini bukan sahaja menjadi simbol demokrasi kepada belia tetapi medan latihan sebenar untuk kita belajar memimpin, berdiskusi dan berbeza pandangan dengan penuh adab dan tanggungjawab.

“Inilah dewan anak muda iaitu dewan idea, dewan solusi dan dewan harapan.

“Saya mendoakan agar segala idea dan cadangan dari sidang ini dapat dijadikan rujukan dasar oleh kerajaan negeri dan dipertimbangkan dalam pelaksanaan pembangunan belia,” ujarnya.

Fadhli turut merakamkan penghargaan atas pelaksanaan pelbagai program belia oleh ADUN Belia Terengganu yang telah memberi manfaat langsung kepada ribuan anak muda di negeri itu.