Home Berita PAS Terengganu

Belanjawan 2025 Tidak Cukup Selesaikan Kos Sara Hidup

48
SHARE

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan tidak memadai untuk mengatasi masalah hutang negara dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat, terutama bagi golongan miskin tegar.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman, menyatakan kebimbangan bahawa belanjawan negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mampu menyelesaikan isu kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.

“Belanjawan dibentangkan walaupun besar tapi pada saya tidak akan menyelesaikan kos sara hidup semakin meningkat di mana rakyat kalau kita lihat pada hari ini masih dihimpit, operasi semakin tinggi dan rakyat berada dalam keadaan yang mana ramai sebenarnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

“Kita tak menafikan ada kebaikan dengan belanjawan besar dikemukakan dan sebenarnya bila belanja besar hutang kerajaan yang ada semakin meningkat,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri,
berkata demikian ketika ditemui pihak media pada hari ini, mengulas mengenai belanjawan 2025 yang dibentang pada Jumaat oleh PMX.

Ariffin juga menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu kemiskinan, terutama di kawasan bandar dan luar bandar, yang masih dihantui oleh kemiskinan tegar.

“Terdapat golongan miskin tegar di Malaysia, khususnya di Terengganu terkesan meskipun menerima bantuan seperti RM100 seorang dan bantuan-bantuan lain yang biasa diberikan.

“Kita juga telah melihat bantuan disalurkan sebelum ini, namun persoalannya, adakah ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan, terutamanya kemiskinan di bandar dan luar bandar?,” soalnya.

Beliau menambah, kerajaan pusat perlu memastikan segala bentuk bantuan, geran, dan pinjaman yang diumumkan sampai kepada rakyat di peringkat bawah tanpa diskriminasi dan halangan.

Dalam pada itu, Ariffin turut menyentuh isu subsidi, yang menurutnya mungkin akan ditarik balik secara berperingkat dan termasuk subsidi minyak yang telah diumumkan sebelum ini, dijangka akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang keperluan lain seperti gula.

“Kerajaan kononnya memberikan pelbagai inisiatif kepada rakyat dan akan ada subsisi yang ditarik balik sebagaimana minyak diesel pada hari itu kita dengar petrol akan ditarik subsidi menyebabkan harga minyak naik serta kesan kenaikan harga barang meningkat tinggi.

“Ini akan memberi kesan langsung yang dipanggil kesan berantai, terutamanya kepada rakyat.

“Jadi pada saya tak akan menyelesaikan masalah sedemikian, masih ada miskin tegar,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan perseketuan perlu lebih serius dalam menangani isu berkait kos sara hidup .

“Sekarang ini saya difahamkan dalam belanjawan, gula akan dinaikkan walaupun kecil tapi memberi kesan kepada semua orang sebab semua orang ‘makan gula’.

“Walaupun Menteri kata ada buat kenyataan dengan kenaikan gula di pasaran diharap rakyat tak makan gula dan pada saya itu bukan caranya,” ujar Ariffin.

Beliau menambah, PMX membentangkan belanjawan terbesar pada tahun ini berbanding tahun terdahulu dan di mana dijelaskan bahawa negeri Terengganu berbelanja bajet sebanyak RM1.2 billion sahaja setahun.

“Bajet dia RM400 bilion dan kita kata kerajaan hutang RM1.2 trillion.

“Dia berhutang RM80 billion setahun, tak kiralah kalau nak bayar padan bayar bunga pun. Kalau hutang bayar bunga. Kalau bayar bunga tak habis tapi dia tak kisah.

“Dia tak boleh pikir separuh pitih ada ini dalam RM300 billion, RM100 bilion kena bayar hutang, jatuh kerajaan.

“Tapi dia tahu doh sokongan tak berapa kuat dia belanja tahun lepas sikit dan tahun ini dia tingkatkan hampir RM100 bilion, itulah Anuar menyebabkan hari ini macam-macam bagi.

“bagi ke Sabah dan Sarawak banyak dan negeri lain tetapi royalti kita tak dibayar sebagaimana sepatutnya. Itu Anuar pelik. Padahal RM1 bilion sahaja,” katanya.