Home Berita PAS Terengganu

Belanjawan 2025, lima fokus jadi sasaran utama

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebanyak lima fokus utama Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan tahun depan menerusi peruntukan yang diterima melalui Belanjawan 2025.

Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fokus utama belanjawan yang bertemakan ‘Demi Masa Depan Terengganu’ adalah peningkatan kelestarian fiskal.

Katanya, ia meliputi usaha mengurus kewangan secara berkesan melalui pengembangan sumber hasil, proses belanjawan yang telus, peningkatan kecekapan kutipan hasil dan penerokaan model pembiayaan yang efisien.

“Fokus kedua meliputi Pembangunan Rantaian Nilai Makanan (Food Value Chain)  yang merangkumi proses meningkatkan hasil pengeluaran komoditi makanan utama.

“Di samping itu untuk menarik bakat muda, perkemas penyeliaan tanah dan infrastruktur serta memacu pelaburan dan pembangunan industri agromakanan.

“Pengukuhan Modal Sosial (Social Capital) menjadi fokus ketiga yang melibatkan upaya mengukuhkan jaringan hubungan sosial melalui program keagamaan, keilmuan, pendidikan dan pembangunan modal insan serta penglibatan NGO dalam menangani jenayah, memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri juga memfokuskan  Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) yang mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi.

“Ia bagi memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, Pemberdayaan Masyarakat Usahawan (Entrepreneurial Society) yang melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut menjadi fokus pada belanjawan kali ini.

Katanya, ini bagi mencipta dan mengembangkan peluang pasaran serta membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.