Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 23 Jul – PAS Cawangan Chengal Lempong telah berjaya mengadakan Program Belaian Kasih Bersama Anak Yatim kali kedua belas di Chengal Lempong Balok di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu mengucapkan tahniah di atas usaha gigih yang berterusan dalam membuat kerja amal kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
“Menjadi kewajipan umat Islam memelihara kepentingan golongan yang memerlukan dalam masyarakat terutamanya anak yatim untuk mendapat perhatian terhadap kebajikan mereka.
“Maka saya berharap kita semua dapat bergabung dalam satu kesatuan untuk membina masyarakat di persekitaran kita ini kepada satu keadaan yang lebih baik, semoga Allah akan memberikan kita keberkatan dan rahmatNya.
“Pada ahli masyarakat yang ada kelebihan, sama-samalah hulurkan sumbangan supaya kita mampu untuk membantu meringankan bebanan golongan ini untuk meneruskan kehidupan mereka” ujar beliau lagi.
Seramai 70 orang anak-anak yatim di sekitar Chengal Lempong, Bandar Baru Balok, Balok Pantai dan Balok Maju telah diraikan dengan menerima cenderahati dan wang tunai serta hidangan makanan Marrybrown selain dari pelbagai aneka kuih muih.