Home Rencana PAS Wilayah

BELA ARWAH ZARA – HENTIKAN PEMBULIAN, LAKSANAKAN KEADILAN SEBENAR

6
SHARE

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan rasa dukacita dan marah terhadap insiden tragis yang menimpa arwah adik Zara, mangsa buli yang akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat kezaliman manusia yang tidak berperikemanusiaan.

Kami menegaskan bahawa semua pihak berkuasa yang relevan termasuk badan Kehakiman, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi insiden “Zara kedua” berlaku di negara ini.

▪️Penjenayah mesti diadili

Al-Quran menegaskan:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, kelak kamu akan disentuh api neraka…” (Surah Hud: 113)

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Tolonglah saudaramu, sama ada dia seorang yang zalim atau dizalimi.” Para sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, kami menolong jika dia dizalimi, tetapi bagaimana menolong dia jika dia zalim?’ Baginda menjawab: ’Cegah dia daripada melakukan kezaliman, itulah cara menolongnya’. (Riwayat al-Bukhari)

Semua pelaku yang terlibat perlu segera disiasat, didakwa, dan diseret ke muka pengadilan. Hukuman yang setimpal mesti dijatuhkan supaya menjadi pengajaran keras kepada pembuli dan sesiapa yang berniat melakukan pembulian.

▪️Penyelesaian berasaskan prinsip Islam

Syariat Islam telah menetapkan prinsip Qisas dalam jenayah bunuh:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu hukuman qisas dalam kes orang-orang yang dibunuh…” (Surah al-Baqarah: 178)

Menurut Imam Ibn Kathir, pelaksanaan qisas mengandungi hikmah pencegahan (deterrence) kerana ia menghentikan kecenderungan manusia untuk membunuh atau mencederakan orang lain.

Dalam sirah, Rasulullah SAW menegakkan keadilan tanpa memandang status pelaku atau mangsa. Kes pembunuhan yang berlaku di Madinah diadili secara terbuka dan hukuman dilaksanakan demi menjaga nyawa serta kehormatan masyarakat.

Negara-negara yang melaksanakan undang-undang jenayah Islam seperti Brunei dan Arab Saudi membuktikan kadar jenayah bunuh dan keganasan berada pada tahap rendah kerana hukuman yang tegas dan adil menghalang keberanian penjenayah.

▪️Pendidikan & pencegahan berterusan

Selain hukuman, pencegahan melalui pendidikan dan pembinaan akhlak mesti diberi keutamaan. Sistem pendidikan Islam pada zaman Rasulullah SAW bukan sekadar memberi ilmu akademik tetapi mendidik adab, akhlak, dan rasa takut kepada Allah.

Kementerian Pendidikan Malaysia wajar menambah baik kurikulum pendidikan akhlak dan mewajibkan kempen anti-buli secara berterusan di semua peringkat sekolah.

▪️Solidariti & doa untuk arwah Zara

Sebagai tanda solidariti, DPPWP akan mengadakan program Yasin Hours 4 Zara secara dalam talian pada 13, 14 dan 15hb bulan ini. Kemuncak program ini akan berlangsung pada 15hb malam di hadapan SOGO, Kuala Lumpur secara Hybrid (fizikal dan dalam talian) dengan bacaan Yasin beramai-ramai untuk arwah.

Kami mendoakan agar Allah SWT merahmati roh arwah adik Zara, memberikan kekuatan kepada keluarganya, dan mengangkat tragedi ini sebagai titik henti kepada budaya buli di negara kita. Semoga tiada lagi ‘Zara 2.0’ pada masa akan datang.

“Buli Bernoktah, Keadilan Berdiri Tegak”

AZMER SYAZWAN BIN AHMAD SUPARMIN,
KETUA PEMUDA DPPWP.