Home Berita PAS Terengganu

Bekerja dari rumah, tunggu arahan MKN

40
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum melaksanakan kembali sistem bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata setakat hari ini tiada arahan dan keperluan berhubung pelaksanaan semula perkara itu.

“Buat masa ini, walaupun kes baru meningkat, angka yang dikeluarkan KKM menunjukkan kes serius kategori 3 dan ke atas masih terkawal.

“Kita tidak boleh mengelak daripada jangkitan, tetapi kita boleh mengurangkan gejala teruk jika dijangkiti dengan sistem imunisasi badan melalui vaksinasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian usai Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Secara Penswastaan di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir ke majlis menandatangani projek antara syarikat pemaju Rumah Mampu Milik (RMM), Ketua Setiausaha Kerajaan, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman.

Semalam, sebanyak 782 kes baru dicatatkan di negeri Terengganu daripada 27,719 jumlah keseluruhan kes baru direkodkan di laman sesawang COVIDNOW, menjadikan 5,360 kes positif Covid-19 yang masih aktif.

Mengulas berkenaan kadar vaksinasi bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang dilancarkan KKM melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids), katanya peratusan di Terengganu antara yang terendah

“Kita sedang luaskan kempen khususnya kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka menerima vaksin sama ada secara walk-in atau mendaftar di MySejahtera,” tambah beliau.