Home Berita PAS Terengganu

Beberapa fenomena Liberalisme dan Pluralisme agama

1118
SHARE

1. Membenarkan murtad atau pertukaran agama

Fenomena membincangkan isu murtad bermula dengan masalah yang berkaitan dengan kedudukan Mahkamah Syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Terdapat pihak tertentu yang memohon pindaan Perkara 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dianggap mengancam hak kebebasan beragama. Terdapat kumpulan tertentu yang berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap tafsiran mereka mengenai kebebasan beragama di bawah Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan (“Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya”) dengan mentafsirkannya sebagai memberikan hak semua orang dalam negara ini bebas untuk menukar agama mereka tanpa mengira agama dan ianya termasuk orang Islam. Ini bermakna penentuan isu agama termasuk pertukaran agama orang Islam hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Tafsiran kebebasan agama yang diperjuangkan oleh kumpulan tertentu ini adalah mengikut tafsiran sepertimana yang dimanifestasikan dalam Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 (Universal Declarations of Human Rights, 1948) yang antara lain memperuntukan bahawa ‘Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, maksudnya, “setiap orang mempunyai hak untuk kebebasan berfikir, bersuara dan beragama, hak ini termasuk kebebasan untuk menukar agamanya atau kepercayaannya”.

2. Mempertikaikan hukum syariah dan autoriti fatwa

Menurut Wahbah al-Zuhayli, hukum beramal dengan hukum-hakam fiqh yang diijtihadkan adalah wajib ilzami kerana para imam mujtahid wajib beramal dengan apa yang dihasilkan menerusi ijtihadnya sendiri. Baginya ia adalah seumpama hukum yang jelas daripada Allah S.W.T melalui al-Quran dan al-Sunnah. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/27.

Namun bagi selain mujtahid (pengikut atau muqallid) maka hendaklah beramal dengan fatwa mujtahid memandangkan di hadapannya tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syarak melainkan dengan memohon fatwa daripada yang mengetahui dan mampu berijtihad. Oleh itu memungkiri mana-mana hukum yang sabit melalui jalan ijtihad yang terbina atas dasar melampaui andaian (ghalabah al-µann) ia adalah maksiat, kefasiqan dan kezaliman; ini kerana mujtahid telah memeras segala daya upaya untuk mengeluarkan (istinba³) kebenaran dan keterangan tentang hukum Allah S.W.T, jauh daripada mengikut hawa nafsu diri sendiri atau kepentingan tertentu atau mengharapkan nama dan kedudukan, tetapi mereka hanya menurut dalil-dalil syarak dan panduan kebenaran dengan penuh amanah dan keikhlasan. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/27.

Oleh itu, adalah sesuatu yang amat menyinggung sensitiviti umat Islam jika sesuatu fatwa itu disanggah atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Malah orang Islam yang memperlekeh atau menghina sesuatu fatwa dan institusi ulama dianggap sebagai kurang berakhlak. Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada masa kini, apabila institusi fatwa yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa dan penjelasan hukum diperlekeh dan diperleceh tanpa rasa bersalah oleh pihak tertentu. Walhal bagi orang awam, mempertikaikan institusi fatwa dengan tujuan untuk mengkritik ijtihad yang dikemukakan, ia boleh menjerumuskan seseorang terhadap perbuatan dosa kerana ijtihad yang dilakukan tetap bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Sebaliknya bantahan dan tentangan yang dikemukakan oleh sesetengah pihak, tidak lebih daripada suatu tuntutan supaya setiap individu termasuk muslim diberi kebebasan mutlak untuk berfikir dan memilih pandangannya sendiri sekalipun dia tidak mahir atau memiliki ilmu yang memadai tentang soal hukum agama. Sikap yang seumpama ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada fenomena liberalisme dalam beragama kerana mereka yang terlibat inginkan supaya agama ini difahami dan dipraktiskan sekalipun tanpa mengikuti disiplin-disiplin ilmu yang ditetapkan. Beberapa fenomena yang dilihat hasil daripada kesan fahaman ini adalah seperti berikut:

Memperjuangkan kebebasan media secara mutlak termasuk mengecam tindakan kerajaan mengawasi filem-filem atau buku-buku yang boleh mengancam kesucian agama Islam dan anutan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di negara ini.
Memperjuangkan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) secara terbuka bagi menuntut supaya setiap individu diberikan hak dan kebebasan untuk memperlakukan apa sahaja yang dia mahu terhadap seksualiti dan tubuhnya seperti menjadi gay atau menukar jantina.
Menolak dan mempertikaikan fatwa-fatwa yang dikatakan mengongkong kebebasan hak asasi manusia dan masyarakat majmuk seperti fatwa Valentine’s Day, Islam liberal, doa bersama bukan Islam dan lain-lain.

Implikasi Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama Terhadap Umat Islam

1. Menyebabkan kelonggaran kepada batas-batas yang menjejaskan iman

Antara implikasi terbesar pemikiran liberalisme agama ialah meniadakan sama sekali hukum-hakam yang boleh menggelincirkan iman seseorang. Ia adalah berdasarkan fahaman sesiapa yang membenarkan dalam hati dan mengaku dengan lidah, maka ia dianggap kekal beriman dengan sempurna walaupun orang tersebut tidak melakukan sebarang amal perbuatan seorang muslim seperti solat, zakat, puasa dan haji. Malah sekiranya dia melakukan apa jua kemungkaran yang boleh mengkafirkan seperti menyembah berhala dan sujud kepada matahari, dia tetap dianggap mukmin selagimana masih tidak mengiktikadkan perbuatan tersebut di hati.

Antara kebatilan liberalisme agama ialah menafikan hukum syarak berkenaan kaedah menentukan hukum ke atas manusia secara zahir iaitu:

نحن نحكم بالظواهر والله يتولى بالسرائر

Maksudnya: “Kita berhukum secara zahir, manakala bagi diserahkan perkara-perkara tersembunyi”. Lihat Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir, 4/192.

2. Mengubah Islam menjadi agama kepercayaan semata-mata

Pemikiran liberalisme agama boleh menjadi punca kandungan agama Islam yang meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia dihapuskan. Hasilnya, Islam akan menjadi agama kepercayaan semata-mata. Hanya dengan beriman di dalam hati dan melafazkan dua kalimah syahadah, maka ia dianggap sebagai mukmin yang sempurna. Fahaman ini menyebabkan hakikat agama yang dibawa oleh para rasul a.s., perutusan kitab-kitab suci dan pertembungan yang berlaku antara golongan beriman dan golongan kuffar tidak mempunyai apa-apa makna. Ini kerana ia tidak memperjuangkan konsep “penyerahan diri” seperti yang terkandung dalam makna Islam itu sendiri sebaliknya hanya menerima ucapan lafaz syahadah sebagai penilai terhadap kesempurnaan iman seseorang.

Konsep ibadah juga tidak akan mempunyai apa-apa erti. Ini kerana ia hanya mementingkan pengakuan hati dan lidah sedangkan ibadah meliputi pelbagai amalan zahir yang menjadi lambang ketundukan, kehinaan dan ketaatan manusia sebagai hamba Allah SWT. Ibadah solat, zakat, puasa dan haji, kesemuanya adalah ibadah zahir yang wajib dilakukan oleh setiap hamba bagi membuktikan keimanan mereka kepada Allah SWT. Ia adalah matlamat dan tujuan mereka diutuskan di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Dhariyyat ayat 56 :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Surah al-Dhariyyat (56)

3. Mengubah persepsi umat Islam terhadap dosa dan azab neraka

Liberalisme agama cuba menjadikan iman itu tidak akan sekali-kali tergugat dengan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh anggota badan. Fahaman ini adalah amat bertentangan dengan nas-nas al-Qur’an dan hadith berkenaan dosa dan maksiat. Nas-nas syarak telah menetapkan bahawa dosa syirik dan kekufuran tidak sekali-kali akan diampunkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Manakala dosa selain kedua-duanya, telah dijanjikan Allah SWT dengan balasan tertentu di dunia dan di akhirat berdasarkan kecil atau besarnya dosa tersebut. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan seorang mukmin atau muslim yang berdosa tidak sekali-kali akan diazab di akhirat kelak, ia adalah kenyataan yang membohongi Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Antara ayat-ayat al-Qur’an yang menunjukkan balasan Allah SWT terhadap mereka yang melakukan dosa-dosa kecil adalah kesemua ayat yang menyebut tentang balasan Allah SWT terhadap perbuatan manusia secara umum. Sebahagian ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ ۗ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Maksudnya: “(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya”. Surah al-Nisa’ (123)

4. Menghapuskan eksklusiviti kebenaran pada agama Islam dan meletakkan agama Islam seriring dengan kedudukan agama lain

Secara ringkas beberapa implikasi buruk yang bakal menimpa sekiranya pengaruh pluralisme agama dibiarkan berleluasa di dalam negara atau di seluruh dunia iaitu:

Penghapusan agama itu sendiri disebabkan usaha untuk menyeragamkan semua agama dan menolak sebarang pertindihan yang berlaku membabitkan perbezaan fahaman atau kepercayaan.

Pluralisme skeptik yang menjurus kepada kesangsian dan keraguan terhadap kewujudan agama dan kepercayaan.

Ancaman ke atas Hak Asasi Manusia terutama hak untuk mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing.
Kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini akan terhakis sedikit demi sedikit demi memenuhi tuntutan mereka yang menafikan kelebihan atau keistimewaan mana-mana agama.
Agama akan menjadi tidak lebih melainkan urusan peribadi masing-masing dan mustahil untuk dijadikan sebagai undang-undang (syariah) kerana ketika itu yang wujud hanyalah etika dan moral yang diakui bersama.
Agama akan menjadi sesuatu yang boleh dipermain-mainkan, setiap individu berhak untuk masuk atau keluar daripada agama sesuka hatinya akibat hilangnya kekudusan atau kesucian sesebuah agama itu.
Wujudnya agama baru yang mengajak manusia supaya tidak beragama, walaupun golongan pluralisme menafikan tetapi dari sudut teori dan praktikal ini bakal akan berlaku sekiranya pluralisme diterima masyarakat dunia.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan pembentangan di atas, tuntasnya kami simpulkan bahawa liberalisme dan pluralisme agama adalah serangan pemikiran yang merupakan strategi Barat paling ampuh bagi melumpuhkan pertahanan aqidah umat Islam daripada luar. Ia berlaku dengan memasukkan ideologi-ideologi ciptaan mereka secara halus dan tanpa disedari. Ideologi-ideologi yang ditawarkan dengan jelas boleh memberi kesan langsung terhadap aqidah dan syariah Islam. Malah ia terbukti telah meninggalkan impak yang amat besar sehingga mengujudkan masyarakat Islam yang hilang jati diri dan nilai keimanan. Justeru, kami menyeru agar umat Islam membenteng diri daripada terpengaruh dengan ideologi-iedologi tersebut dan senantiasa dikurniakan petunjuk dan hidayah Allah SWT untuk membezakan antara yang haq dan yang batil.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
2 Ogos 2019