Home Berita PAS Kelantan

Bantuan untuk yang benar-benar memerlukan – Dato’ Oie

19
SHARE
Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
KOTA BHARU, 14 Jul: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berprestij di peringkat negeri atau kebangsaan mengambil kesempatan menyumbang bantuan dalam pelbagai bentuk demi membantu mereka yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh berkenaan.
Antaranya, Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan yang turut menyumbang bakti membantu golongan terkesan sepanjang tempoh PKP.
Menurut pengerusinya, Dato’ Oie Poh Choon, sumbangan dalam bentuk makanan asas diberi kepada keluarga yang benar-benar terjejas pendapatan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Di luar kawasan Kota Bharu kita agihkan bantuan di sekolah-sekolah Cina membabitkan keluarga pelajar yang terjejas pendapatan tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama.
“Hampir 1000 bekalan sudah disiap untuk diagihkan dan hari ini (semalam) sebanyak 31 bungkusan disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Peir Chih di Kota Bharu,” katanya ketika hadir sama menyerahkan sumbangan kepada Guru Besar, Chua Lin Nee.
Tambahnya, pada kesempatan ini kita akan lakukan yang terbaik kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan demi meringankan bebanan sepanjang tempoh PKP.
Sehubungan itu, beliau menyeru para penderma supaya mengambil peluang untuk sama-sama membantu golongan yang terbeban dan terjejas pendapatan sepanjang tempoh ini.