Home Berita PAS Terengganu

Banteras vape segera – Pakar Perubatan

84
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah menegaskan bahawa rokok elektronik atau ‘vape’ perlu dibanteras segera kerana ia mendatangkan bahaya termasuk membawa kerosakan serius terhadap paru-paru.

Katanya, tindakan pengharaman rokok pada 50 tahun lalu sewajarnya dijadikan iktibar kerana sikap tidak tegas pihak berwajib dan keputusan hukum yang diambil pada waktu itu mengakibatkan penjualan rokok terus subur.

“Hinggakan kerajaan sendiri membuka industri tembakau bagi meraih pendapatan negara dan sekarang kita menanggung kerosakan umat (rakyat) hasil dari bahana tembakau sehingga mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung RM4 bilion setahun bagi merawat perokok dan komplikasinya.

“Usaha kami tidak akan berhasil jika semata-mata mengharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi semua pihak termasuk setiap individu dalam masyarakat perlu mempunyai kesedaran terhadap perkara ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan di facebooknya, di sini, pada semalam.

Katanya, pihak KKM sehingga sekarang masih utuh menyatakan pendirian yang sama sejak tahun 2015 mengenai bahaya vape dan telah mengeluarkan amaran tentang ancaman terhadap kesihatan akibat vape.

“Pada waktu itu ramai ‘vapers’ dan perokok tegar menyerang kami dengan menuduh mereka cipta  penyakit yang tidak akan wujud kerana bukti kecederaan paru-paru akibat sedut vape adalah terhad.

“Jumlah kes pula pada masa itu tidak nampak dengan jelas, kecuali beberapa kajian kes yang serius telah berlaku di luar negara namun ‘vapers’ menyangkalnya dengan menuduh kes-kes tersebut adalah terpencil setelah tujuh tahun berlaku sekarang ini ia telah terbukti dan kesan serta kerosakan daripada perbuatan menghisap vape semakin terserlah,” ujarnya.

Tegasnya lagi, rakyat juga perlu menyedari bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan bersama KKM telah memutuskan bahawa vape adalah haram pada 21 Disember 2015.

“Pengharaman berkenaan bersandarkan beberapa dasar hukum, antara asas fiqh yang dinyatakan adalah membahayakan kesihatan, membazir dan tidak terbukti berupaya membantu rawatan penagih rokok,” katanya.