Home Berita PAS Pulau Pinang

Bantah PSR: PKR tidak perlu nampak hipokrit!

527
SHARE

PERTEMUAN Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama para nelayan dan NGO yang membantah Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) tidak lebih mencuri perhatian lensa semata-mata. Tidak ada penyataan jelas pendirian beliau menolak atau menerima projek raksaksa itu, bahkan dilihat cuba ‘makan keliling’.

Publisiti murahan yang cuba diraih Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak membawa sebarang erti andai tidak berani menyanggah sekutu sendiri. DAP kini cukup ghairah untuk menjayakan projek tersebut. Malah, Anwar mungkin ‘trauma’ untuk membuat sebarang janji setelah PH ‘popular’ memungkiri.

Kemaskini beliau mengenai isu ini di media sosialnya hanya muncul setelah warga marhaen menzahirkan bantahan di Parlimen pada minggu lalu. Namun, disebalik ‘pembelaan’ kononnya cuba dijuarai itu, Anwar juga membangkitkan masalah kontraktor kelas menengah dan rendah yang dibawanya kepada Perdana Menteri.

Sebenarnya, ini untuk memperjuangkan nasib rakyat yang terumbang-ambing dan bakal menerima kesan buruk, atau kepentingan rakan kroni? Lebih nampak lakonan itu apabila menyeru nelayan untuk menolak pampasan yang ditawarkan. Apakah kepuraan dan pemerdayaan sedang direncanakan ini?

Sedarkah Dato’, tindakan itu seperti menampar pemimpin kerajaan negeri, khasnya Dr Afif Bahardin yang juga dari PKR. Dr Afif sebelum ini pernah mendakwa 50 peratus nelayan bersetuju dengan PSR. Walhal, merujuk laporan Kesan Impak Persekitaran (EIA) hanya 17 nelayan bersetuju projek 4,500 ekar tersebut.

Tahukah juga Dato’, selama projek tersebut dan rangkaian berkaitannya dibantah, tidak seorang pun Ahli Parlimen dan Adun dari PH dan PKR menyuarakan kepentingan penduduk. Apakah sebenarnya pendirian PKR dalam isu ini? Jangan hanya kerana isu sedang mendapat liputan media, Dato’ pun menyelit berlagak hero.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF

Pesuruhjaya

PAS Negeri Pulau Pinang