Home Berita PAS Terengganu

Bank Susu Patuh Syariah perlu penelitian mendalam

115
SHARE

KUALA TERENGGANU- Cadangan pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di negara Islam memerlukan penelitian yang lebih mendalam serta menyeluruh biarpun ia sangat terkenal di negara barat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata kajian perlu dilakukan dengan mengambil kira pelbagai aspek bukan sahaja melibatkan hukum hakam tetapi juga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

Katanya, cadangan pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di Malaysia adalah sangat penting sebagai sumber bekalan susu ibu kepada bayi-bayi yang sangat memerlukan susu ibu dan juga kepada para ibu yang tidak mampu untuk menyusukan bayi atas masalah-masalah tertentu.

“Kita harapkan isu yang dibangkitkan ini boleh direalisasikan dalam masyarakat kerana ianya merupakan keperluan sebenarnya.

“Ada ibu tertentu dan anak-anak yang memerlukan alternatif ini sebagai jalan penyelesaian akibat timbul permasalahan yang tidak boleh diatasi contohnya ibu yang berpenyakit, bayi pramatang, bayi kematian ibu dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 ‘Bank Susu: Keperluan Dan Hukum’ di Permai Hotel, hari ini.

Sementara itu, Mufti Negeri Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, garis panduan mengenai pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di Terengganu akan diperkemaskan dari semasa ke semasa.

“Di Terengganu, kita baru mula dengan garis panduan dan ada pasukan penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang membuat penyelidikan tentang isu ini.

“Bank Susu Patuh Syariah masih terpencil bukan menyeluruh, sebab itulah kita memerlukan suatu SOP yang jelas, khususnya dari sudut mengamalkan mazhab Shafie, jadi ini perkara-perkara yang perlu diperkembangkan ke peringkat nasional.

“Bank susu biasa memang wujud, tetapi yang patuh syariah ini perlu diteliti dengan lebih mendalam sebelum keputusan untuk melaksanakannya atau tidak diputuskan, ” ujarnya.