MARANG – Lapan stesen minyak di negeri ini dihentikan sementara operasi akibat terjejas dengan banjir.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata lapan stesen minyak tersebut melibatkan empat daerah.
Katanya, tiga stesen minyak terletak di daerah Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Besut, Setiu serta Dungun.
“Penutupan sementara stesen minyak itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
“Untuk keselamatan amat membincangkan kerana minyak bercampur dengan air, di samping arus elektrik juga turut boleh menjejaskan operasi stesen minyak tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Bukit Payong semalam.
Tambah Saharuddin, stesen minyak tersebut akan kembali beroperasi apabila banjir surut sepenuhnya seperti biasa.
Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan kenderaan stesen bergerak (ROVR) juga akan digerakkan ke lokasi yang terjejas teruk setelah beberapa penilaian dibuat.
“Perkara itu akan diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Justeru agensi penyelamat dan penduduk tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bakar kenderaan di lokasi bencana,” ujarnya.