Home Berita PAS Terengganu

Banjir : Pesawah perlu patuh jadual penanaman padi elak kerugian

39
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pesawah di Terengganu disaran mengikuti perkembangan cuaca semasa serta jadual penanaman tanaman padi yang ditetapkan bagi mengelakkan kerugian besar dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata Terengganu kini berada dalam  tempoh MTL yang dijangka berakhir hujung Mac tahun hadapan dan boleh menyebabkan kawasan padi berisiko ditenggelami air.

Menurutnya, di Terengganu terdapat lebih 6,000 orang pesawah aktif  yang mengusahakan 11,000 hektar sawah padi yang mampu menghasilkan 56 tan metrik untuk semusim.

“Kita telahpun membuat persediaan awal ataupun pencegahan bagi mengelakkan pesawah mengalami kerugian besar akibat bencana kerana memang kita tidak dapat nafikan sawah padi kita ini berada di kawasan berisiko banjir dan ditenggelami air.

“Apa yang kita buat, ialah petani perlu menepati tempoh masa tanaman khususnya untuk musim kedua. Maknanya, dalam sekitar sebelum daripada pertengahan bulan November ini, sepatutnya padi semua sudah dituai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Padi Terengganu 2024  ‘Pengurusan Tepat, Hasil Berlipat’ di Dewan Perpustakaan Awam Negeri, di sini semalam.

Tambahnya, jika pesawah lewat menabur benih maka penuaian akan lambat dilakukan dan tidak mustahil ia akan memasuki ‘edah’ banjir.

“Jika sebelum daripada ini, kita berhadapan dengan isu kelewatan bekalan benih, jadi ini bukan salah petani kita, tapi lewat dari segi bekalan benih yang menyebabkan mereka terpaksa tunggu benih.

“Dan isu-isu yang dihadapi oleh petani kita ni berada di bawah bidang kuasa persekutuan. Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu petani kita,” ujar Azman lagi.

Sementara itu, mengulas kerugian yang dialami pesawah ketika kejadian ribut yang melanda Kemaman baru-baru ini, beliau ada menerima laporan tentang kerosakan tersebut di kawasan terbabit.

“Ada sikit dan kita telah keluarkan pemakluman supaya petani-petani yang terlibat membuat laporan polis dan seterusnya laporan kepada Jabatan Pertanian.

“Setakat ini Jawatankuasa Bencana Padi negeri  belum bersidang lagi untuk kita tengok jumlah sebenar. Dalam konteks padi, bantuan bencana padi datang daripada kerajaan  Persekutuan  manakala untuk tanaman lain daripada kerajaan negeri,” jelasnya.