KUALA TERENGGANU – Semua pengguna jalan raya di negeri ini dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif akibat penutupan beberapa jalan di Setiu, Besut dan Dungun.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Rohaimi Md Isa berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kesesakan setelah jalan-jalan utama ditutup susulan bencana banjir.
“Di Kilometer (KM)67- KM68 Jalan Kuala Terengganu Ke kota Bharu (Petronas Permaisuri, Kampung Balik Bukit) tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan, pengguna perlu melalui jalan alternatif Batu Rakit- Pantai Penarik- Saujana- Kuala Besut- Tok Bali- Bachok.
“Besut, jalan Padang Luas ke Bukit Yong ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, jalan alternatif bagi pengguna adalah melalui Jalan Pantai Kuala Besut- Tok Bali -Bachok.
“Manakala di Dungun KM67 Jalan Jerangau- Jabor (Stesen Timbang JPJ Bukit Besi) ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif melalui Tol Paka – Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2- Tol Bukit Besi (untuk ke Pahang), “ujarnya menerusi Kenyataan Media Polis, di sini, hari ini.
Dalam pada itu menurutnya, setakat laoporan yang dikeluarkan sehingga 8.00 malam tadi dua jalan utama yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang yang masih boleh dilalui seperti biasa adalah Jalan Pantai Kemaman -Dungun – Marang- Kuala Terengganu – Setiu- Besut.
Serta LPT Pantai Timur Fasa II boleh dilalui oleh pengguna seperti biasa untuk ke Negeri Pahang.