Home Berita PAS Terengganu

Bangkitnya Budaya Kesukarelawanan Dalam Duka Tragedi

3
SHARE

Oleh : Safwan

BESUT – Tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini bukan sahaja mencetuskan kesedihan, malah membuka mata masyarakat tentang pentingnya memperkasa budaya kesukarelawanan.

Jawatankuasa PAS Kawasan Besut, Hilmi Bin Hamdan berkata, kehadiran pantas barisan sukarelawan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi menguruskan jenazah adalah bukti nyata bahawa semangat kesukarelawanan masih subur dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Namun di sebalik kesedihan itu, sekumpulan sukarelawan tampil sebagai cahaya harapan menguruskan jenazah mangsa dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang sesama insan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui mengulas program anugerah khas kepada wakil-wakil sukarelawan pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Besut Kali Ke-66, Sabtu lalu (Gambar bawah)

Tambah Hilmi, majlis ini bukan sekadar medan merancang hala tuju perjuangan, tetapi juga pentas untuk menyanjung insan-insan luar biasa yang berbakti dalam diam dengan hati tulus dan tangan ringan menghulur bantuan.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook yang bernama Ahmad Nazrul yang merupakan salah seorang sukarelawan, berkongsi rasa terharunya di media sosial.

“Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa terharu kami.Kami tidak pernah menyangka akan diraikan sebegini rupa,” katanya.

Selain itu, Mantan Yang Dipertua PAS, Ustaz Dr Riduan bin Mohd Noor mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.

“Terima kasih kepada Jijo dan para sukarelawan yang berusaha membawa pulang jenazah adik-adik UPSI, dan menyusun solat jenazah berjemaah di Masjid Hadhari,” tambah beliau.