KUALA NERUS, 30 Sept – Pertandingan Bowling Buah Kelapa mendapat sambutan hebat dan memberangsangkan daripada orang ramai yang hadir ke Sukan Pantai Fastaqim 2.0 di Pantai Jembal, Kuala Nerus Terengganu.
Balingan padu dan tepat yang menjatuhkan pin bowling di treknya membuktikan kehebatan peserta acara Bowling Buah Kelapa ini.
Riuh rendah suara para ibu, remaja belia dan kanak-kanak juga turut menggamit suasana pesta di sini.
Tidak kurang juga buah kelapa yang tersasar dari laluan dan aksi pemain yang mencuit hati menambahkan lagi hiruk-pikuk Pertandingan Bowling Kelapa ini.
Pertandingan ini memerlukan balingan yang kuat dan terarah tepat kepada susunan pin bowling di treknya.
Saiz buah kelapa dan kekuatan tangan pemain turut memberikan impak kepada balingan tersebut.
Balingan memukau ‘Oh Kelapaku’ menyaksikan tempat pertama digondol oleh kumpulan yang terdiri oleh Khamisah Mohammed, Suhaida Mansor dan Noridah Jusoh.
Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Noriah Awang, Suliah Sidin dan Liyana manakala pasukan yang terdiri daripada Samiah Awang, Arinah Abdullah dan Nafisah mendapat tempat ketiga.
Gelak-tawa dan senyum riang menghiasi acara ini dari saat ianya bermula hingga ke akhir balingan. Semua penonton yang hadir nyata terhibur dengan ‘Oh Kelapaku’ di Pantai Tok Jembal.
Pihak penganjur berharap agar detik indah ini tersimpan erat di dalam hati sanubari setiap peserta dan penonton yang hadir.