KUALA NERUS – Semua calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu Siri II 2021/2023 sedia untuk berbahas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) belia selepas selesai menjalani kem teori selama dua hari di Pusat Latihan FELDA Wilayah Terengganu pada 18 dan 19 Februari lalu.
Seramai 75 peserta yang melepasi ujian pemilihan pertama secara bertulis pada Disember 2021 disaring di kem tersebut untuk dipilih ke bengkel seterusnya.
Penolong Pegawai Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Tuan Nornajihah Tuan Ramli berkata, kem teori itu dilaksanakan untuk memilih 32 ADUN Belia terbaik sebagai wakil bagi DUN masing-masing ke kem induksi.
“Kem induksi ADUN Belia akan datang akan menfokuskan perihal dasar dan polisi kerajaan negeri Terengganu.
“Kita turut akan menampilkan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Dewan Undangan Negeri di samping belajar banyak lagi istilah yang digunapakai di dalam dewan,” tambahnya dalam majlis penutup kem tersebut.
Beliau turut berkata, kem induksi bagi peserta yang layak akan diadakan pada 10 hingga 12 Mac.
“Kita maklumkan awal kepada semua bakal ADUN Belia agar persediaan mampu dibuat dengan rapi dan baik,” ujarnya.
Program ADUN Belia bagi sesi 2021/2023 merupakan batch kedua yang dikelola sepenuhnya oleh UBSNT.