Home Kenyataan Media Presiden PAS

Bajet Ekonomi Sejahtera

10401
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

BAJET EKONOMI SEJAHTERA

Sesiapa yang diamanahkan memimpin negara adalah berkewajipan menyediakan dan membentangkan bajet setiap tahun dan penggal, termasuk bajet tambahan apabila perlu, sama ada musim pilihan raya atau tidak.

Apa yang terpenting adalah persediaan yang betul, mengamalkan konsep berhemah dalam perbelanjaan dan pengurusan serta pelaksanaannya yang berhikmah. Perkara itu lebih penting daripada jumlah peruntukan kewangan.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِ‍َٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٦٨يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ٢٦٩ البقرة

“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (belanjakanlah), sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (267) Syaitan menjanjikan (menakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (mengambil harta haram, bakhil dan lain-lain); sedang Allah menjanjikan keampunan daripada-Nya dan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (268) Allah menganugerahkan hikmah (kefahaman dan kebijaksanaan) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (269)” (Surah Al-Baqarah: 267-269)

Ayat ini Allah menyatakan tentang kewajipan mencari harta dan berbelanja secara umum terhadap hambanya sama ada diri sendiri, keluarga dan negara daripada sumber yang halal dan baik. Maka dihuraikan makna Al-Hikmah (kefahaman dan kebijaksanaan) oleh Rasulullah S.A.W bahawa bukan sahaja dalam kelompok keluarga yang kecil, bahkan juga dalam sistem negara yang bermasyarakat majmuk yang besar dan paling ramai jumlah penduduk serta luas sempadannya.

Justeru itu, Allah memerintahkan supaya diambil pendapatan negara daripada sumber yang halal dan hasil bumi kurniaan Allah secara langsung atau tidak langsung, melalui pengurusan negara yang adil dalam semua lapangan dan kebolehan sama ada perniagaan, pertanian, perlombongan, industri dan sebagainya.

Sistem pemerintahan Islam terdahulu bersumberkan harta negara yang diambil daripada Zakat (ibadat harta bagi penganut Islam sahaja), Cukai (Jizyah, Kharaj dan Usyur), sumbangan kebajikan (Wakaf, Sedekah, Hibah dan lain-lain) dan juga Ghanimah serta Faie. Ini merupakan istilah para fuqaha’ terdahulu daripada sumber di zamannya. Konsep kewangan Islam luas pintu ijtihadnya sepanjang zaman dalam sempadan konsep halal dan berkat. Pengambilannya tidak membebankan rakyat miskin yang memerlukan bantuan dan bimbingan.

Sumber yang halal, harta dan cara pengambilannya adalah konsep penting dalam kewangan Islam, yang hanya boleh dilaksanakan oleh kalangan yang beriman dan bertaqwa. Tegasnya, mestilah meninggalkan sumber yang haram seperti riba, rasuah, menipu, merampas dan semua cara yang zalim, serta membelanjakannya dengan benar, adil dan bijak.

Firman Allah:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ الأعراف

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-Aaraf: 96)

Kemuncak sejarah kegemilangan Islam dengan tegaknya negara yang besar dan adil melalui pengurusan kewangan negara yang berhemah dalam mengambil dan berbelanja, sehingga berjaya mengurus rakyat yang majmuk dalam negara yang luas dengan hasil negara yang berlebihan (surplus). Inilah kejayaan yang dilakukan pada zaman Khulafa’ Rasyidin dan Umar bin Abdul Aziz.

Perkataan ‘berkat’ tidak wujud dalam ekonomi barat, sama ada Konsep Liberal Kapitalis, Sosialis dan Komunis, kerana mereka bertuhankan kebendaan semata-mata tanpa iman, syariat dan akhlak yang menjadi perhitungan Allah dan kurniaan-Nya.

Seterusnya Allah memberi petunjuk dalam pengurusan perbelanjaan:

وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا ٢٩ الإسراء

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kesal.” (Surah Al-Isra’: 29)

Melalui ayat ini, Allah menunjukkan tentang konsep ekonomi dan pengurusan perbelanjaan yang wasatiyyah (sederhana); iaitu tidak bakhil dan tidak boros. Pelaksanaannya mengikut keutamaan yang dihuraikan dalam Maqasid Syariah dengan pembahagian Daruriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat serta jangan melampau sehingga terjerumus ke dalam Tarafiyyat yang membazirkan.

Allah berfirman:

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا ٢٦ إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورٗا ٢٧ الإسراء.

“Dan berikanlah kepada kerabatmu (yang berhajat) dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (26) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (27)” (Surah Al-Isra’: 26-27)

Ayat ini menyatakan secara jelas dan nyata supaya mengutamakan kalangan rakyat yang memerlukan bantuan daripada keluarga yang berhak, golongan miskin dan yang memerlukan bantuan, serta juga benar-benar memenuhi kemudahan asas yang perlu didahulukan dan diikuti dengan langkah-langkah kesempurnaan sehingga ke tahap yang terbaik. Perbelanjaan negara tidak bocor dan boros.

Kebocoran berlaku apabila ditiriskan kepada mereka yang sudah kaya-raya dan tidak memerlukan bantuan lagi, atau berlakunya rasuah dan salah laku yang lain. Keborosan pula ada yang dibelanjakan sehingga melampaui batas dan menunjukkan kemewahan yang melampau kepada perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah. Pembaziran laksana mencurah garam ke dalam laut, lebih bersifat syaitan apabila menghalang atau menjadi penghalang sehingga menafikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Keutamaan ekonomi sejahtera adalah pembangunan insan yang berilmu dan berakhlak bagi membantu negara dalam segala aspek pembangunan oleh mereka yang berkepakaran dan bermoral, sehingga berjaya menambahkan hasil pendapatan negara dan melonjokkan kemajuannya dengan istiqamah.

Maka Allah menghuraikan secara terperinci kepada kumpulan yang berkuasa memerintah negara:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١الحج.

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan, serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj: 41)

Allah menyenaraikan konsep pembangunan insan manusia yang sentiasa berhubung dengan Allah dan baik hubungannya dengan manusia dengan melaksanakan konsep ekonomi yang adil, menjaga keselamatan, keamanan dan berwawasan dunia sehingga akhirat. Bukan sekadar Wawasan 2020 yang terlalu dekat hujungnya, tetapi belum menentukan kejayaannya.

Sesungguhya kita mempunyai bumi yang kaya isi perutnya dan di atas muka bumi yang banyak tenaga manusia bermasyarakat majmuk yang perlu diurus pembangunan insannya mengikut acuan Allah, supaya dapat mengurus diri dan harta dengan adil dan bermanfaat kepada semua, di atas semangat Masyarakat Madani yang bertolong-menolong secara ta’aruf (berkenalan dan bersaudara dalam masyarakat majmuk).

Mereka yang kaya membantu yang miskin, yang kuat menolong yang lemah, sehingga mewujudkan kegiatan ekonomi yang menyumbangkan hasil dan memberi peluang pekerjaan, dengan pendapatan yang cukup, bukannya peminta sedekah atau penunggu bantuan percuma tanpa kerja sehingga bertambahnya pengangguran. Bukan juga bertarung dan saling bersaing sehingga memusnahkan diri sendiri.

Allah melarang apabila harta negara dipusingkan di kalangan orang kaya-raya dan penyangak tertentu sahaja.  Firmannya:

كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧ الحشر.

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Hasyr: 7)

Sebenarnya Allah telah menyediakan rezeki yang cukup, sesuai dengan jumlah manusia, tetapi sebenarnya manusia yang salah mengurus dan tidak beramanah dalam menunaikan perintah Allah.

Firman Allah:

وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ الشورى

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah As-Syura: 27)
“Sejahtera Bersama Islam”


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 10 Safar 1439 / 31 Oktober 2017