Home Berita PAS Terengganu

Baik Pulih Jalan ‘Hantu’ Fokus Cikgu Lan

305
SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar

MERSING, 4 Mac – Calon N33 Tenggaroh, Roslan Nikmat atau mesra disapa Cikgu Lan akan memberi tumpuan untuk membaik pulih jalan ‘berhantu’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan jika dipilih pada 12 Mac nanti.

Cikgu Lan berkata, pemandu kereta dan penunggang motosikal mempertaruhkan nyawa mereka setiap kali melalui jalan di kawasan terbabit kerana kemudahan asas itu sangat uzur.

Katanya, laluan gelap, garis putih yang pudar serta jalan tidak sekata memberi igauan ngeri kepada pengguna apatah lagi sudah kerap kemalangan berlaku di sana.

“Keutamaan saya adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat di DUN Tenggaroh yang telah lama ditanggung oleh mereka, ini bukan masalah baru,” katanya dipetik daripada Facebook miliknya, Cikgu Lan N33.

Mengulas lanjut, calon Perikatan Nasional (PN) itu berkata, rakyat di kawasan tersebut sudah lama mengadu, namun dipandang sepi pihak tertentu.

“Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, akan membahayakan pengguna jalan raya, seperti kemalangan dan kes ragut, memang patut pun rakyat marah kerana isu ini sudah lama berlarutan,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya, beliau juga akan memberi keutamaan mewujudkan Pusat Dialisis kepada mengidap penyakit buah pinggang.

“Pelbagai rungutan ibu dan ayah kita yang mengidap penyakit buah pinggang, sekarang mereka terpaksa mendapatkan rawatan di pusat dialisis yang berada jauh dari Tenggaroh, ini sudah tentulah menyusahkan mereka.

“Insya-Allah, cikgu berikrar dan berikhtiar untuk mewujudkan Pusat Dialisis di Tenggaroh bagi kemudahan ibu dan ayah kita,” katanya.

Cikgu Lan akan bertanding empat penjuru menentang calon-calon dari Barisan Nasional (BN), Pejuang dan Pakatan Harapan(PH).