Home Berita PAS Terengganu

Bahasa Melayu dipandang hina

20
SHARE

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤

“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, juga memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Ayat di atas menunjukkan bahasa sendiri memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa petunjuk dan ilmu kepada suatu bangsa mengikut ciptaan Allah SWT. Sekalipun Allah SWT mencipta berbagai-bagai bangsa dan bahasanya, sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kalian dan warna kulit kalian. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Allah SWT menetapkan bahasa Arab menjadi bahasa al-Quran, bukan sahaja kerana ketinggian nilai dari segi sastera dan kekayaan bahasanya. Malah, disebabkan kehebatan perkataannya yang tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa yang lain.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW diperintah supaya memulakan dakwah Islam pada akhir zaman dengan memulakan kepada kaum dan bangsanya sendiri terlebih dahulu. Sekalipun Islam itu wajib disampaikan kepada seluruh manusia di seluruh alam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa.

Allah memerintahkan Baginda SAW supaya memulakan dakwah dengan bangsa dan keluarganya melalui firman-Nya:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syu‘ara’: 214)

Apabila Islam tiba di Nusantara, maka bahasa Melayu berperanan menjadi bahasa dakwah, pelajaran dan pendidikan, berserta peranannya dalam membina ketamadunan serantau. Bahasa Melayu berkembang bersama Islam, sehingga ia ditulis dengan huruf al-Quran bersama tambahan beberapa huruf lagi.

Perkembangannya berlaku sehingga beberapa abad sebelum kedatangan era penjajahan yang merosakkan umat termasuk bahasanya sekali.

Ketika awal kedatangan penjajah dan era penjajahannya, mereka juga terpaksa menggunakan bahasa Melayu. Sehinggakan, Perjanjian Pangkor yang termeterai pun ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi. Bahasa Melayu ketika itu menjadi bahasa perantaraan semua kaum yang dibawa masuk oleh penjajah.

Gerakan merosakkan bahasa Melayu dilakukan pada era penjajahan secara halus dengan perubahan yang berlaku pada tulisannya daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi melalui pelajaran dan pendidikan. Termasuklah penulisan cerita-cerita dongeng yang mengkhayalkan, sehingga sejarah Islam dan peranannya dilupakan.

Seterusnya usaha meminggirkan peranan bahasa Melayu disambung selepas kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sehingga generasi baharu majoritinya buta huruf terhadap tulisan Jawi. Hal ini berbeza dengan kaum Cina dan India yang tetap memelihara tulisannya.

Para pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan, sehinggakan ia disebutkan dalam perlembagaan. Seterusnya, ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan dan selanjutnya diikuti dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Malangnya, segala usaha tersebut tidak mendapat dukungan yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak. Sehinggakan, bahasa Melayu hanyut terpinggir dalam masyarakat. Bahkan, ia dibariskan berada paling bawah dan tulisannya kecil.

Dalam pada itu, banyak perkataannya tidak menepati makna asal apabila diubah penggunaan ejaan hurufnya. Contohnya, perkataan ni‘mat (نعمة) ditukar kepada nikmat (نقمة) dengan makna celaka atau bencana.

Saya mengikuti persidangan antarabangsa yang disiarkan khususnya yang diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menunjukkan bahawa semua pemimpin negara-negara besar dan maju berucap dalam bahasa ibunda masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Walaupun ada yang dapat menguasai beberapa bahasa, namun mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Saya berasa bangga apabila Tan Sri Razali Ismail yang pernah dipilih menjadi Presiden Perhimpunan Agung PBB memulakan ucapannya dalam bahasa Melayu pada waktu itu.

Adapun yang berucap dalam bahasa bekas penjajahnya ialah para pemimpin yang diberikan gelaran negara sedang membangun. Hal ini demikian kerana, betapa lemahnya jiwa mereka walaupun dikatakan telah mencapai kemerdekaan dan paling kuat melaungkan perkataan merdeka serta mengibarkan bendera kebangsaannya. Akan tetapi, lemah jiwa bangsanya kerana tidak mempertahankan bahasanya sendiri.

Mereka itu apabila disebutkan slogan bahasa jiwa bangsa, tetapi sikapnya terhadap bahasa ibunda sendiri terlalu lemah atau sudah hilang, maka ia menunjukkan jiwanya masih dijajah. Keadaan ini berlaku sekalipun jasadnya bertempik slogan merdeka dan tangannya mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing.

Apa yang paling menarik adanya kalangan mereka yang merasa malu apabila berbahasa kebangsaan dan melecehkan bahasanya sendiri. Walhal, kakinya berpijak di sini, tetapi rohnya tersangkut dengan bekas penjajah yang telah memperhambakannya.

Sehinggakan, mereka berucap dan bermesyuarat dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan melakukan pengumuman di darat dan udara dengan mendahulukan bahasa Inggeris. Bahkan, segala iklan di kedai dan pasar serta nama-nama bandar dan jalan pun dinamakan dengan bahasa Inggeris, walaupun sasarannya secara majoriti besar tidak tahu berbahasa Inggeris.

Betapa lemahnya jiwa bangsa mereka, sehingga berbahasa Inggeris kerana hanya seorang yang tidak tahu berbahasa Melayu. Pada masa yang sama, tidak mempedulikan kepada beribu para hadirin daripada rakyat yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris.

Peranan bahasa ibunda dalam kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), menunjukkan kejayaan pendidikan negara yang maju kerana mereka menjadikan bahasa ibunda masing-masing menguasai sistem pendidikan, pelajaran dan media. Contohnya, negara Jerman dan Jepun yang bangkit selepas Perang Dunia Kedua.

Pada hari ini, di negara China, bahasa asing dipelajari bagi mengambil ilmu daripada berbagai-bagai bangsa yang lain.

Adapun bagi memperkasakan ilmu bangsanya pula, mestilah ilmu tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Hal ini penting supaya dapat melahirkan ilmuwan yang ramai dengan mudah dalam tempoh masa yang ringkas.

Semua negara yang menjadikan bahasa asing khususnya bahasa bekas penjajahnya sehinggakan peminta sedekah juga berbahasa Inggeris, tetap berada pada tahap merangkak. Walaupun negaranya tersenarai dalam senarai perkataan negara sedang membangun yang tidak diketahui bila boleh bangun sendiri menjadi bangsanya mencapai kemajuan dalam semua lapangan.

Bahkan, mereka terus bergantung dengan penjajahnya yang mengambil kesempatan memeras bukannya membantu.

Sejarah Tamadun Islam pada zaman keemasan bangkit bersama bahasa Arab dan bahasa ibunda bangsa yang menganut Islam dan mengambil alih kepimpinan daripada bangsa Arab. Pernah suatu ketika dahulu bahasa Urdu dan bahasa Parsi yang berhuruf Arab dijadikan bahasa rasmi oleh Kerajaan Islam Mogul di India.

Begitu juga, Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah dengan bahasa Turki yang berhuruf Arab sebagaimana bahasa Melayu yang bertulisan Jawi di Nusantara. Sehinggakan, keadaan sedemikian mempengaruhi wilayah luas yang dikenali Alam Melayu, dengan huruf yang mencukupi dan istilah yang tepat maknanya.

Mustafa Kamal Ataturk memaksa bahasa Turki ditulis dengan huruf rumi, dengan alasan ingin menjadi negara maju seperti Eropah. Hal ini menjadikan Turki merempat beberapa dekad dan kini sedang dilakukan perubahan untuk kembali ke pangkal jalan.

Apabila berlakunya gerakan meminda tulisannya mengikut agenda penjajah, maka bahasanya rosak dan dilemahkan peranannya pula. Sehinggakan, pengaruhnya juga dirancang supaya dihapuskan, malah menjadikan kita sudah ketinggalan jauh ke belakang.

Kini, sudah ada suara kesedaran yang wajib diikuti dengan tindakan yang bersungguh-sungguh. Jangan pedulikan suara songsang yang mengigau kerana masih tidur dalam lamunan zaman penjajah atau kalangan mereka yang gila mahu memaksa bahasa Melayu ditinggalkan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Zulhijjah 1443 / 2 Julai 2022