Home Berita PAS Pahang

Bahasa cinta menjadikan TASTI pilihan masyarakat

161
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 17 Jul – Bahasa cinta dalam pendidikan awal kanak-kanak dengan alunan nama-nama Allah sangat memberi kesan dalam pendidikan anak-anak.

Begitulah ucapan Pengarah Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Rahsidah Arbain semasa merasmi TASTI Al-Khaliq di Indera Mahkota 14 di sini kelmarin.

Tambahnya pelaksanaan dan penghayatan bahasa cinta tersebut adalah untuk membina sikap dan akhlak yang mulia dalam diri anak-anak.

“Matlamat besar TASTI adalah untuk melahirkan generasi yang kuat akidahnya sebagaimana contoh pejuang Palestin yang begitu kuat menghadapi pelbagai jenis ujian dan cabaran, termasuk bayi dan kanak-kanak yang telah kematian ahli keluarganya,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau telah membuat penaziran di enam buah TASTI di Negeri Pahang iaitu empat cawangan TASTI As-Solihin di Kotasas Kuantan, selebihnya di Rompin, TASTI As-Sufi dan TASTI Nurul Iman.

Hasil dari penaziran tersebut, beliau berpuas hati dengan adanya gerak kerja yang tersusun rapi dan kombinasi tenaga kerja yang berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Semoga TASTI terus berkembang maju dapat melangkah lebih jauh lagi bagi meneruskan kesinambungan sistem pendidikan ini dari TASTI sehingga ke universiti,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan TASTI Pahang Nor Hafsah Omar berkata, penaziran dari DMPM sangat baik bagi memantau dan memastikan TASTI sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik.

Ianya selaras bagi memenuhi tuntutan masyarakat yang memerlukan pusat asuhan kanak-kanak yang dipercayai dan diyakini demi melahirkan generasi yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Turut hadir dalam penaziran dan perasmian TASTI Al-Khaliq adalah Ahli Lembaga Pengelola Jabatan TASTI DMPM, Salwani Salleh dan Maziyah Mahusin, juga Ketua Cawangan Mahkota Perdana Hazman Mohd Zain dan ahli jawatankuasa cawangan tersebut.