Home Berita PAS Perak

“Badan Cergas Minda Cerdas” dalam program Jom Sihat bersama Muslimat

43
SHARE

Oleh : NurAsilah Noor

TELUK INTAN , 16 Oktober : Lajnah Kesihatan Muslimat telah menganjurkan program Jom Sihat bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di sini baru- baru ini.

Program berbentuk santai dengan kerjasama Klinik Kesihatan Teluk Intan dimulai dengan senaman ‘chairobik’ pada awal pagi memeriahkan suasana dewan.

Selain pameran kesihatan berkaitan kanser payudara dan kanser servik yang banyak menyerang kaum wanita, pertandingan mewarna sekolah rendah serta ceramah kesihatan turut diadakan.

“Antara kesimpulan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi pengesanan awal kanser payudara adalah dengan meluangkan masa selama 5 minit setiap 2 tahun sekali membuat ‘mamogram’ serta memeriksa sendiri di rumah selepas tempoh haid berakhir setiap bulan,” kata Pegawai Perubatan yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Teluk Intan, Doktor Husna Mansor ketika menyampaikan ceramahnya.

Beberapa orang jururawat memberi taklimat kepada para peserta cara mengenal pasti ketulan di payudara dan mengisi borang melaksanakan ‘mamogram.’

Turut hadir, Ketua Muslimat, Robi’aton Mohd Abas, Timbalan Muslimat, Hamisah Abas, Ketua Lajnah Kesihatan, Athnah Sulaiman serta ahli jawatankuasa yang lain.