Home Berita PAS Perak

Bacalah Wahai Teman (16) Persoalan Semasa Ibadah Korban

1084
SHARE

Image may contain: one or more people, text, outdoor and natureBACALAH WAHAI TEMAN (16)
Rabu, 22 Julai 2020

PERSOALAN SEMASA IBADAH KORBAN

PERTAMA : MEREKA YANG MELAKUKAN KORBAN

1) Bilakah waktu niat korban dan cara berniat?

Jawapan : Waktu niat korban sunat adalah ketika menyembelih binatang korban jika disembelih sendiri olehnya.

Jika diwakilkan kepada orang lain untuk menyembelih, memadai berniat ketika mewakilkannya.

Tidak wajib melafazkan niat. Melafazkan niat adalah sunat sahaja seperti “Saya berniat melakukan korban sunat”.

Korban nazar yang sudah ditentukan binatang korbannya tidak perlu lagi diniatkan korban kerana sudah memadai dengan lafaz nazar dan penentuan binatang itu.

2) Adakah wakil sembelih perlu berniat?

Wakil sembelihan hanya perlu menerima menjadi wakil untuk sembelih dan tidak perlu berniat untuk korban melainkan pewakil memintanya berniat bagi pihaknya.

KEDUA : BINATANG KORBAN

1) Hukum haiwan korban mengalami kecacatan sebelum disembelih

Ulamak bersepakat meletakkan syarat asas bagi haiwan korban itu tiada kecacatan yang jelas seperti yang disebut di dalam hadis. Namun perinciannya ada khilaf dikalangan ulamak.

Secara umumnya Mazhab Syafie meletakkan syarat mestilah haiwan korban itu tiada kecacatan yang “mengurangkan daging”.

Mengikut Mazhab Syafie juga, syarat haiwan korban itu selamat dari kecacatan itu dikira ketika ia disembelih. Jika sebelum disembelih berlaku kecacatan dan penyakit maka tidak sah dijadikan korban.

Walaubagaimanapun Almarhum Syeikh Atiyyah Saqr cenderung mengatakan sah haiwan korban yang baru menjadi cacat sebelum sembelihan dan bukan asalnya cacat atau sakit.

2) Hukum daging korban sunat dan wajib

Pembahagian daging korban sunat seperti berikut :

a- Yang terbaik adalah disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin kecuali beberapa suapan untuknya makan bagi mengambil berkat daging korban.

b- Yang baik juga dibahagikan tiga bahagian. Satu bahagian untuknya dan ahli keluarganya, satu bahagian hadiah untuk orang kaya dan satu bahagian untuk fakir miskin.

c- Memberikan sekurang-kurangnya kadar yang wajib sahaja kepada seorang fakir miskin dengan suatu yang layak dipanggil pemberian dan selebihnya dimakan olehnya.

3) Hukum Korban Wajib Seperti Nazar

Wajib disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin dan orang yang melakukan ibadah korban serta orang-orang yang berada dalam tanggungannya. Tidak boleh makan dari daging korban tersebut.

KETIGA : CARA PENYEMBELIHAN KORBAN

Adakah mesti sekali sembelih sahaja?

Menurut pandangan majoriti Fuqaha’ Syafie, Maliki dan Hanbali, yang terbaik ialah disempurnakan sembelihan dengan cepat dan segera.

Jika diangkat pisau sebelum sempurna sembelihan, kemudian disambung dengan segera sembelihan itu maka sah dan halal dimakan. Jika lama tempoh pisau itu terangkat, kemudian disambung semula maka tidak sah dan haram dimakan.

KEEMPAT : KORBAN LUAR NEGARA

1) Apakah hukum melakukan korban di luar negara dan bolehkah mewakilkan kepada seseorang?

Pada asalnya ibadat korban dilaksanakan di negeri sendiri bagi menegakkan syiar korban.

Namun, boleh melaksanakan ibadah korban di luar negara dengan syarat jangan sampai tiada langsung korban dilakukan di negeri sendiri kerana ini akan menghilangkan syiar korban yang merupakan matlamat utama daripada ibadah ini.

Manakala mewakilkan kepada seseorang untuk ibadah korban di luar negara adalah harus.

2) Adakah boleh mengambil untung atas korban?

Wakil tidak boleh mengambil sebarang keuntungan kerana ia hanya diwakilkan oleh orang yang berkorban. Jika satu bahagian RM600 dan ada lebihan daripada jumlah itu, mesti dinyatakan dengan jelas ke mana wang tersebut dibelanjakan, seperti untuk kos pengurusan dan seumpamanya.

3) Adakah wakil dibenarkan mengambil upah atas korban seperti upah menyembelih?

Wakil boleh mengambil upah di atas kerjanya dengan syarat ia dinyatakan dengan jelas dalam akad wakalah itu, dan dinyatakan juga berapa jumlah upahnya.

4) Bagaimana cara pembelian secara wakalah?

Pada asalnya syarat jual beli mestilah diketahui harga barang dan ciri-ciri barang yang dibeli samada dengan melihat sendiri barang yang dibeli atau dinyatakan sifat-sifat dan ciri-ciri barang tersebut secara jelas.

Maka, dalam hal ini mestilah jelas berapa harga haiwan itu. Jika haiwan korban itu tidak dilihat sendiri oleh orang yang melakukan korban, hendaklah dinyatakan kepadanya berapakah anggaran berat haiwan korban tersebut supaya jelas dan tidak berlaku ‘jahalah’ dalam jual beli yang mengakibatkannya tidak sah.

Oleh:
YB Ustaz Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak

Rujukan;

فقه الإسلامي وأدلته للدكتور وهبة الزحيلي
حاشية الشرقاوي على التحرير
من أحكام الأضحية للدكتور نضال سلطان
الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع للخطيب الشربيني
حاشيتا القليوبي وعميرة
أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام للشيخ عطية صقر