Home Berita PAS Terengganu

Azizulhasni, Nor Azimi dikurnia gelaran Dato’

72
SHARE

KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan lima doktor termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato’.

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu Datuk Isa @ Ghazali Endut dalam satu kenyataan hari ini berkata pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.

Sultan Terengganu juga berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran D.P.M.T itu kepada empat lagi individu iaitu Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan Azri Sani Mazlan, Pengerusi Eksekutif Hours Intertrade (M) Sdn Bhd Md Nor Ismail, Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu Mohamad Zahari Harun serta Pengarah Urusan Arup Jururunding Sdn Bhd Ir Wan Anuar Wan Endut.

Selain itu, Sultan Mizan turut mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) kepada empat lagi doktor iaitu Pakar Patologi HSNZ Dr Fatimah Haslina Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu Dr Azmani Wahab, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu Dr Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Isa berkata Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Tahun 2021 itu akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.