Home Berita PAS Terengganu

AYTK Dinaik Taraf Jadi Sekolah Imtiaz, Penempatan Pelajar Terjamin – YT Jawab Fitnah

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Yayasan Terengganu (YT) menegaskan bahawa kawasan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) bukannya ditutup atau dihapuskan, sebaliknya akan dinaik taraf bagi pembinaan sebuah Sekolah Imtiaz baharu untuk menampung permintaan kemasukan yang mencecah lebih 5,000 pelajar setiap tahun.

Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata naratif yang mendakwa kawasan AYTK ditutup dan menzalimi pelajar adalah fitnah tidak berasas, sedangkan realiti sebenar ialah YT sedang memperluas peluang pendidikan berteraskan al-Quran di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa penempatan pelajar sedia ada kekal terjamin, malah ibu bapa telah dimaklumkan melalui sesi libat urus rasmi bersama pihak sekolah, YT, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Selagi penempatan asrama baharu untuk pelajar yang menginap di AYTK belum ada, pelajar masih dibenarkan menginap di situ seperti biasa. Ibu bapa sedia maklum dan urusan berkait penempatan baharu berada dalam kawal selia YT, JPNT dan PPD,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Menurut Ahmad Farhan, keputusan menjadikan AYTK sebagai tapak pembangunan Sekolah Imtiaz baharu adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang YT bagi menambah kapasiti institusi pendidikan tahfiz moden di Terengganu, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat saban tahun.

Beliau menjelaskan bahawa semua asrama YT lain di seluruh negeri telah dinaik taraf kepada Sekolah Imtiaz dan AYTK merupakan lokasi terakhir yang kini sedang melalui proses transformasi.

“Dengan kewujudan 10 ekar tanah tambahan di belakang AYTK, sekolah baharu itu berpotensi menampung 700 hingga 800 pelajar, sekali gus meningkatkan jumlah tempat untuk memenuhi permohonan yang tinggi setiap tahun.

“Usaha ini ialah transformasi untuk memberi peluang lebih luas kepada anak Terengganu menikmati pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang lebih moden dan sistematik,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa proses naik taraf itu tidak dilakukan secara mengejut.

Sebaliknya kata beliau, ia dilakukan secara berperingkat, dengan kebajikan dan penempatan pelajar menjadi faktor utama dalam setiap keputusan.

“Semua langkah diselaraskan bersama YT, JPNT dan PPD Kemaman bagi memastikan sesi pembelajaran pelajar tidak terjejas,” ujarnya.

YT turut menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa memanipulasi fakta sehingga mencetuskan kekeliruan kononnya AYTK akan ditutup atau mahu dihapuskan.

“Perubahan ini sebenarnya membuka lebih banyak peluang pendidikan untuk anak Terengganu pada masa depan. Janganlah transformasi baik seperti ini digunakan sebagai bahan politik murahan,” tegasnya.

YT menyeru masyarakat supaya mendapatkan maklumat terus daripada agensi berkaitan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang dibina untuk memesongkan fakta.