Minda Presiden PAS
[Bil: 25 / 2025]
AWAS! SYAITAN AKBAR (KEPALA SYAITAN) PADA SETIAP MASA DAN TEMPAT
Allah SWT memberi peringatan melalui firman-Nya:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (Allah) yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW melakarkan garis yang lurus di atas tanah dan melakarkan cabang-cabang yang banyak serta menegaskan:
هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا.
“(Garisan yang lurus) ini ialah jalan Allah (Islam sebagai satu-satunya) yang lurus (benar).”
ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ، وَشِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: هَذِهِ السُّبُلُ، لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.
Kemudian, Baginda melakarkan cabang-cabang yang banyak di kanan dan kiri garisan lurus itu sambil bersabda, “Ini ialah cabang-cabangnya. Tiada satu pun pada setiap cabang ini melainkan ada syaitan yang menggoda (cabang-cabang ini adalah kesesatan).” [Al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, No. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 4437, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi Ahmad]
Adapun syaitan yang paling besar ialah syaitan bergelar Iblis yang menjadi ketua kepada segala syaitan. Ia menjadi ujian kepada manusia yang berada di alam dunia yang banyak urusannya.
Allah mendedahkan bahaya makhluk Iblis yang bersifat takbur (sombong), sehingga menolak ketetapan-Nya. Sedangkan, Allah telah menetapkan kepada makhluk manusia (zuriat Adam dan Hawwa) tanggungjawab mentadbir bumi dengan petunjuk-Nya berserta tugas beribadat kepada-Nya. Hal ini demikian kerana, manusia memiliki sifat fitrah yang melayakkan mereka dan ilmu yang tidak ada pada makhluk yang lain. Firman Allah SWT:
وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبُِٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣
“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!’ (31) Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32) Allah berfirman, ‘Wahai Adam, beritahulah kepada mereka nama-nama benda ini.’ Maka, setelah diberitahu kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, ‘Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?’ (33)” [Surah al-Baqarah: 31-33]
Allah SWT memerintahkan para malaikat dan Iblis supaya menerima ketetapan-Nya, sebagaimana firman-Nya:
وَإِذۡ قُلۡنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan ia termasuk dalam golongan orang-orang yang kafir.” [Surah al-Baqarah: 34]
Iblis menunjukkan sifat takbur dan kebodohannya apabila mengangkat martabat dirinya sendiri lebih tinggi daripada makhluk yang lain. Sifat ini merupakan sifat yang paling takbur dan akan merosakkan sesiapa sahaja yang berlagak tanpa ilmu sehingga merendahkan mereka selain daripadanya. Firman Allah SWT:
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ ١٢ قَالَ فَٱهۡبِطۡ مِنۡهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَٱخۡرُجۡ إِنَّكَ مِنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ ١٣ قَالَ أَنظِرۡنِيٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ ١٤ قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلۡمُنظَرِينَ ١٥ قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧ قَالَ ٱخۡرُجۡ مِنۡهَا مَذۡءُومٗا مَّدۡحُورٗاۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمۡ أَجۡمَعِينَ ١٨
“Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) sewaktu Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya; Engkau menciptakan aku daripada api sedangkan Engkau menciptakannya daripada tanah.’ (12) Allah berfirman, ‘Turunlah engkau dari syurga itu kerana engkau menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya engkau termasuk kalangan orang-orang yang hina.’ (13) Iblis menjawab, ‘Berikanlah tempoh tangguh kepadaku sampai waktu mereka dibangkitkan.’ (14) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, kamu termasuk mereka yang diberikan tempoh tangguh.’ (15) Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. (16) Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’ (17) Allah berfirman, ‘Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya, sesiapa antara mereka yang mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya.’ (18)” [Surah al-A‘raf: 12-18]
Sesungguhnya, hanya Allah yang layak menentukan kedudukan dan martabat makhluk kerana seluruh alam ini adalah kepunyaan-Nya. Dialah Pencipta alam, Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, bukan diri sendiri yang jahil dan bodoh.
Namun begitu, Iblis meletakkan kedudukan dirinya sendiri. Hal ini menunjukkan sifat bodoh dan sombong Iblis yang nyata. Iblis memberi alasan asal kejadiannya daripada api dan Adam daripada tanah, bukan dengan ukuran sifat-sifat fitrah dan ilmu, serta keimanan yang ikhlas dan amal yang soleh.
Kesudahannya, Iblis menjadi pemimpin syaitan yang paling besar, lalu ia terus mengisytiharkan perang terhadap manusia. Tujuannya bagi menyesatkan iman dan merosakkan amalan manusia dalam kehidupan dunia, seterusnya mencari bala tenteranya yang berpanjangan sehingga akhir dunia.
Maka, akan wujud pada setiap zaman pemimpin yang menjadi syaitan paling besar. Pemimpin-pemimpin ini menentang Allah dan bermusuh terhadap manusia.
Sesungguhnya, Allah SWT mengisytiharkan kepada manusia bahawa syaitan itu musuh mereka melalui firman-Nya:
۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١ وَلَقَدۡ أَضَلَّ مِنكُمۡ جِبِلّٗا كَثِيرًاۖ أَفَلَمۡ تَكُونُواْ تَعۡقِلُونَ ٦٢ هَٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ٦٣ ٱصۡلَوۡهَا ٱلۡيَوۡمَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ ٦٤
“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. (60) Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (61) Sesungguhnya, syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar antaramu. Maka, apakah kamu tidak memikirkan? (62) Inilah Jahannam yang dahulu kamu diancam (dengannya). (63) Masuklah ke dalamnya pada hari ini disebabkan kamu dahulu mengingkarinya. (64)” [Surah Yasin: 60-64]
Iblis pula mencabar Allah dengan angkuh bagi menyesatkan manusia, sebagaimana yang telah dirakamkan dalam al-Quran:
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٨٢ إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ ٨٣
“Iblis menjawab, ‘Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya. (82) Kecuali para hamba-Mu yang mukhlis (dibersihkan daripada sebarang penderhakaan dan penyelewengan) antara mereka.’ (83)” [Surah Sad: 82-83]
Firman Allah SWT:
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧ قَالَ ٱخۡرُجۡ مِنۡهَا مَذۡءُومٗا مَّدۡحُورٗاۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمۡ أَجۡمَعِينَ ١٨
“Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. (16) Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka itu bersyukur (taat).’ (17) Allah berfirman, ‘Keluarlah kamu daripada syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya, sesiapa antara mereka yang mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya.’ (18)” [Surah al-A‘raf: 16-18]
Syaitan atau setan merupakan kata sifat bagi menunjukkan sesuatu perkara yang jahat dan buruk. Syaitan dalam bahasa Ibrani bermaksud penuduh (accuser) dan pembuat andaian atau spekulasi (speculator).
Syaitan terbahagi kepada dua iaitu Syaitan Jin dan Syaitan Manusia. Seperti yang diketahui dalam agama Islam, Kristian dan Yahudi, Syaitan Jin asalnya merupakan salah satu daripada golongan hamba Allah yang paling beriman dan amat taat, pintar, patuh dan kuat beribadah kepada-Nya.
Golongan syaitan ini diketuai oleh Azazel, namun selepas ingkar terhadap perintah Allah ia disebut Iblis atau Lucifer. Walau bagaimanapun, menurut Islam, Syaitan Jin diciptakan daripada api oleh Allah SWT dan manusia ikut digoda menjadi pengikut dan bala tenteranya.
Disebabkan Iblis menentang perintah Allah, ia diusir dari Syurga, kerana ingkar akan perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam AS sebagai penghormatan kepada ciptaan-Nya yang mulia. Menurut agama Islam, Tuhan meletakkan taraf manusia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk yang lain kerana mereka diberikan akal, terutamanya untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
Adapun syaitan membangkang penciptaan manusia kerana asal kejadiannya, bukannya sifat kelayakan manusia itu sendiri. Namun begitu, manusia yang berakal dan berilmu pula menjadi pembantu syaitan yang paling dekat dengan menggoda sesama manusia.
Disebabkan kederhakaannya, maka Iblis menjadi syaitan paling besar dan ketua kepada bala tenteranya. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦
“Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. (5) Daripada (golongan) jin dan manusia. (6)” [Surah al-Nas: 5-6]
Firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ ١١٢ وَلِتَصۡغَىٰٓ إِلَيۡهِ أَفِۡٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡأٓخِرَةِ وَلِيَرۡضَوۡهُ وَلِيَقۡتَرِفُواْ مَا هُم مُّقۡتَرِفُونَ ١١٣
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada kalangan syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan jin, sebahagiannya membisikkan kepada sebahagian yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya (manusia). Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak mengerjakannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu (112) Dan (juga) agar hati kecil orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat cenderung kepada bisikan itu, mereka merasa senang kepadanya dan supaya mereka mengerjakan apa yang mereka (syaitan) kerjakan. (113)” [Surah al-An‘am: 112-113]
Allah SWT mendedahkan wujudnya bala tentera syaitan dan kelemahannya yang berakhir dengan kekalahan melalui firman-Nya:
هَلۡ أُنَبِّئُكُمۡ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ ٱلشَّيَٰطِينُ ٢٢١ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٖ ٢٢٢ يُلۡقُونَ ٱلسَّمۡعَ وَأَكۡثَرُهُمۡ كَٰذِبُونَ ٢٢٣ وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلۡغَاوُۥنَ ٢٢٤ أَلَمۡ تَرَ أَنَّهُمۡ فِي كُلِّ وَادٖ يَهِيمُونَ ٢٢٥ وَأَنَّهُمۡ يَقُولُونَ مَا لَا يَفۡعَلُونَ ٢٢٦ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَذَكَرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا وَٱنتَصَرُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا ظُلِمُواْۗ وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ ٢٢٧
“Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun? (221) Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa. (222) Mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta. (223) Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (224) Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah? (225) Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? (226) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta banyak menyebut-nyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. (227)” [Surah al-Syu‘ara’: 221-227]
Peranan besar golongan ini adalah untuk mengelirukan kefahaman dengan maklumat yang salah, bohong dan fitnah. Pada zaman dahulu, peranan ini diambil oleh para penyair dan ahli pidato. Akan tetapi, pada zaman kini, ia dilakukan oleh media baharu tanpa sempadan yang menjadi bala tentera syaitan disebabkan kemampuannya untuk masuk ke setiap ceruk dan kawasan.
Allah juga menyatakan peranan para ulama’ yang tidak ikhlas kerana mengejar pangkat dan kesenangan. Para ulama’ ini digoda menjadi bala tentera syaitan kerana ingin mendapatkan pengaruh yang besar dalam masyarakat, sama ada daripada kalangan ilmuwan agama ataupun ilmuwan dalam urusan dunia. Pangkat dan harta dijadikan umpan dan ada pula yang bernafsu, laksana anjing yang sentiasa menjelirkan lidah bagi menjilat tuan dan makanannya.
Firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚفَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya laksana anjing. Jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dijulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” [Surah al-A‘raf: 175-176]
Bala tentera syaitan dan kepalanya yang paling besar bergerak aktif sepanjang masa menentang Islam, agama yang dibawa oleh para anbiya’ dan pengikutnya yang setia. Para anbiya’ ini telah dilantik oleh Allah bagi memimpin manusia beristiqamah di jalan-Nya.
Selain itu, mereka juga bertanggungjawab mengingatkan manusia untuk berwaspada supaya tidak ditipu oleh syaitan dan bala tenteranya yang bermusuh terhadap Allah serta manusia yang mengikut agama-Nya (Islam). Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣
“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampau (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Pada zaman tiada lagi para anbiya’, tugas menegakkan Islam disambung oleh para ulama’ dan para pemimpin yang setia bersama kumpulan Islam yang wajib diadakan dengan perintah Allah, sebagaimana firman-Nya:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung (berjaya).” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Pada masa yang sama, bala tentera syaitan meneruskan perjuangan zalimnya menentang Islam bersama para kumpulan dan pemimpinnya. Firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَةٍ أَكَٰبِرَ مُجۡرِمِيهَا لِيَمۡكُرُواْ فِيهَاۖ وَمَا يَمۡكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ ١٢٣
“Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan sesiapa pun melainkan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” [Surah al-An‘am: 123]
Tugas ketua syaitan yang paling besar (Syaitan Akbar iaitu Iblis) disambung oleh kumpulan seperti kaum ‘Ad dan Thamud, kumpulan al-Mala’ (bangsawan) dan individu seperti Raja Namrud, Firaun dan Abu Jahal. Kini pula, paling baharu ialah Donald Trump yang memimpin Amerika Syarikat dan sekutunya dengan sokongan Yahudi Zionis.
Trump mengeluarkan kenyataan yang sangat angkuh kerana bertuhankan harta dan kuasa, malah dengan rakus meneruskan agenda penjajahan baharunya dengan keganasan yang paling melampau. Sehinggakan, bertindak membunuh dan merompak negara dan harta tanah jajahannya serta memperhamba rakyat yang lemah.
Setelah itu, dia mendabik dada mengatakan dirinya kononnya yang paling kuat, berkuasa dan paling kaya. Tidak ada sebarang undang-undang dan mana-mana pihak yang boleh menghalangnya melakukan apa-apa sahaja yang diinginkan.
Allah menunjukkan bahawa Islam tidak boleh dikalahkan dan semua bala tentera syaitan itu kelak akan dibinasakan. Maka, umat Islam wajib berjihad dan haram sama sekali menyerah kalah. Allah SWT telah memberi peringatan melalui firman-Nya:
۞فَلۡيُقَٰتِلۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يَشۡرُونَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۚ وَمَن يُقَٰتِلۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيُقۡتَلۡ أَوۡ يَغۡلِبۡ فَسَوۡفَ نُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ٧٤ وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Oleh kerana itu, hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berperang di jalan Allah. Sesiapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka kelak akan Kami berikan kepadanya pahala yang besar. (74) Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa: 74-76]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Syawwal 1446 / 9 April 2025