Home Berita PAS Terengganu

Awang Nelang, Mek Ara jadi Maskot Penyu Terengganu

80
SHARE

KUALA TERENGGANU – Maskot  Terengganu iaitu penyu jantan dan betina kini telah memiliki nama iaitu Awang Nelang dan Mek Ara.

Melalui Pertandingan Mencipta Nama Maskot Penyu, dua nama tersebut telah dipilih dan Norasyikin Sulong, 32, dari Kemaman serta Suraya Hanum Zarudin, 34, dari Selangor telah dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 beserta pakej pelancongan di Primula Beach Resort.

Norasyikin berkata, dia tidak menyangka pemilihan nama Awang Nelang kepada penyu jantan telah membawa tuah kepadanya.

“Tertarik dengan nama Awang kerana ia sinonim dengan panggilan untuk orang lelaki Terengganu, saya percaya nama itu juga menjadi pilihan kepada peserta yang lain kerana nama itu dekat dengan masyarakat di negeri ini.

“Manakala meletakkan ‘Nelang’ di belakangnya kerana ia membawa maksud berani atau gagah, bagi mengekalkan identiti ‘Terengganu’ Awang Nelang dijadikan pilihan saya kepada penyu jantan ini,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut di Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di sini, semalam.

Sementara itu bagi pemenang Pertandingan Mencipta Nama Maskot kategori penyu betina, Suraya berkata dia mengetahui pertandingan berkenaan melalui Facebook dengan syarat yang begitu mudah dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Mendapat ilham menamakan penyu betina sebagai ‘Mek Ara’ melalui pencarian dan bacaan daripada artikel di internet berkaitan Penyu Karah di Terengganu yang jarang dapat dilihat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pada asasnya pihaknya sendiri ingin memberikan nama kepada maskot penyu itu namun akhirnya dibuka kepada orang ramai dengan lebih 1,300 menghantar penyertaan.

“Maskot ini kita akan bawa ke setiap daerah melalui untuk perkenalkan kepada seluruh pelancong dimana penyu ini telah menjadi ikon sejak dahulu.

“Bila disebut sahaja Terengganu pastinya orang akan ingat dan tahu mengenai penyu yang begitu sinonim dengan negeri ini,” ujarnya.